Hiburan
"Tak Boleh Berhenti Senyum" - Kamal Adli, Uqasha Senrose Bakal Timang Baby Girl!
Pasangan selebriti Kamal Adli dan Uqasha Senrose mengumumkan bakal menimang anak perempuan tidak lama lagi selepas empat tahun menunggu kehadiran cahaya mata.
Pendedahan eksklusif tersebut dibuat pasangan terbabit menerusi majlis ‘gender reveal’ yang disiarkan menerusi program Oh Baby Kamal & Uqasha, pada Sabtu.
BERITA TRENDING: Menari Dengan Baby Bump, Uqasha Terima Pujian Netizen: “Jangan Comel Sangat Boleh?”
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, mengakui sememangnya mengimpikan memiliki anak perempuan kerana mahu melihat kebolehan Kamal menguruskan cahaya mata mereka nanti.
Manakala, Kamal atau sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 38 tidak kisah mengenai soal jantina anak asalkan zuriatnya itu sihat meskipun berharap anak sulung mereka adalah lelaki.
“Alhamdulillah, saya tak boleh berhenti senyum bila tahu jantina anak saya.
“Saya nak anak perempuan sebab nak tengok Kamal jaga anak perempuan itu macam mana,” katanya.
Turut sama terkejut, pasangan sama cantik sama padan itu memberitahu mereka juga baharu mengetahui jantina bayi berkenaan pada acara tersebut.
“Semua orang ingat kami sudah tahu, tapi sumpah kami tidak tahu dan sebab itu kami adakan majlis ini untuk kongsi bersama keluarga,” ujarnya.
Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. Uqasha sebelum ini mendedahkan pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali.