Hiburan
Tak Gembira Bergelar Selebriti, Aktres Ini Kerja Cuci Pinggan Di Restoran & Kutip Sampah
Seorang pelakon wanita mendedahkan dirinya kini berehat daripada dunia glamor untuk merasai pengalaman bekerja dalam industri berbeza.
BERITA TRENDING: Sampah-Sarap Bersepah, Kotor! Hunny Madu Kecewa Keadaan Pantai Tok Bali, Potong Stim Nak Makan Aiskrim
Choi Kang Hee yang juga seorang deejay radio sudah tiga tahun tidak aktif atau menerima sebarang tawaran berlakon atas kehendaknya sendiri.
Sepanjang tidak menjadi pelaku industri seni, Kang Hee bekerja mencuci pinggan di restoran, membersihkan kediaman rakan selebriti dan menyertai petugas pembersihan alam sekitar.
“Saya tidak berlakon sejak tiga tahun lalu. Saya beritahu keluarga mahu berhenti dan mereka setuju. Mereka beri kebebasan untuk saya memilih.
“Jadi saya mulakan dengan menukar nombor telefon dan mengarahkan pengurus berhenti mengambil tawaran berlakon buat saya,” kata Kang Hee sewaktu menjadi tetamu dalam program Point of Omniscient Interfere seperti dilaporkan AllKPop.
PILIHAN PEMBACA: [VIDEO]: “Bukan Susah Pun Tong Sampah Depan Mata, Selfish!” - Cef Wan Geram Sikap Pemalas Orang Awam…
Menurut bintang berusia 46 tahun ini lagi dia tidak gembira menjadi selebriti sejak lebih dua dekad lalu.
“Saya tidak gembira. Saya telah menjadi pelaku seni selama 25 tahun tapi saya selalu terfikir apakah kemampuan sebenar saya.
“Visi hidup saya adalah ‘siapa yang tidak bekerja, tidak akan makan’, jadi saya mula melakukan sesuatu.
“Oleh kerana saya selalu tertanya bagaimana individu bukan selebriti hidup dengan pekerjaan mereka jadi saya lakukannya.
“Selain ke sekolah belajar menjadi penulis skrip dan melakukan kerja editing saya juga bekerja separuh masa sebagai tukang cuci pinggan di sebuah restoran.
“Dan sekarang saya diupah membersihkan kediaman rakan selebriti yang tentunya mereka tidak sedar ‘pembantu rumah’ itu saya kerana kawalan yang ketat,” ujar Kang Hee.
BERITA TRENDING: [VIDEO] Minat Lori Sampah, Netizen Sebak Kanak-Kanak Ini Hargai Pekerja Pembersihan - “Kerja Angkat Sampah…
Kang Hee yang popular menerusi naskhah seperti Hello, Me, Queen of Mystery dan My Scary Girl itu juga mempamerkan pekerjaannya sebagai pengutip sampah dalam akaun YouTubenya.
“Hari ini saya datang untuk mengutip sampah, di tengah malam. Seronok juga keluar bekerja pada saat kebanyakan orang sedang berehat,” katanya yang dilihat memandu truk sampah.