Hollywood
Tak Mahu Hipokrit, Lily Allen Dakwa Status Ibu Buat Karier & Populariti Merudum
Penyanyi Lily Allen, 38, tanpa berselindung mengaku kerjaya seninya merosot dan populariti merudum selepas dia memiliki anak.
Menurut Allen yang membuat kemunculan dalam dunia muzik sewaktu berusia 21 tahun pada 2006 silam, dia berkata demikian kerana tidak mahu menjadi hipokrit dengan memberi jawapan klise.
“Anak-anak telah merosakkan karier saya,” katanya sewaktu menjadi tetamu di Radio Times Podcast seperti dilaporkan Independent.
Allen yang terkenal menerusi debut Smile menyambung: “Saya sayang anak saya. Mereka membuat hidup saya sempurna tapi harus diakui mereka juga membuat karier saya merudum.
“Saya mengatakan ini sebagai sebuah kenyataan apabila selalu mendengar ada yang mengaku mampu menyeimbangi antara karier dan kehidupan peribadi terutama anak.
“Anak dan karier tidak boleh bercampur. Saya rasa meluat jika mendengar ada yang memberi jawapan kedua-duanya boleh menjadi satu atau seimbang kerana pada hakikatnya ia tidak.”
Meski mengakui anak-anaknya dari hasil perkahwinan dengan bekas suami, Sam Cooper iaitu Ethel Mary dan Marnie Rose sebagai perosak karier, Allen berpuas hati kerana memilih untuk memberi fokus terhadap keluarga berbanding karier.
“Ada yang memilih karier berbanding anak-anak, terpulang kepada hak masing-masing.
“Tapi untuk saya, saya pilih membesarkan anak kerana dahulu ibu dan bapa saya sibuk. Mereka selalu tidak ada untuk saya dan saya rasa ia sangat teruk sehingga meninggalkan kesan yang kurang baik.
“Sebab itu saya ambil keputusan lupakan karier dan membesarkan anak sendiri kerana tidak mahu mengulang hal yang sama.
“Dan saya berpuas hati kerana melihat mereka bahagia,” ujar Allen yang merupakan anak kepada pelakon Keith Allen dan penerbit filem Alison Owen.