Hiburan
Tak Mahu Tangguh Perkara Baik, Zul Ariffin Dedah Bakal Dirikan Rumah Tangga Akhir Tahun Ini?
Pelakon Zul Ariffin mendedahkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang akhir tahun ini selepas rancangan tersebut terbantut disebabkan fasa pandemik Covid-19.
Menurut Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 38, tidak mahu menangguhkan perkara baik selepas masing-masing sudah bersedia menggalas tanggungjawab.
“Memang dari tahun lepas lagi ada perancangan itu. Rasanya saya pun lama berlakon dan sudah sampai waktu untuk jadi suami orang pula, Insya-Allah.
“Saya tidak mahu cakap kosong saja, tapi cuba realisasikan tahun ini sebab kalau boleh tak mahu lagi tangguh lama-lama,” kongsinya.
Majlis Kahwin Akhir Tahun
Sementara itu, Zul menyasarkan akhir tahun bagi menyempurnakan hari bahagianya kerana terdapat banyak komitmen buat masa ini termasuk promosi filem terbaharunya, Sheriff.
“Buat masa ini saya difahamkan semua pelakon Sheriff akan mengikuti jadual promosi memandangkan filem itu bakal ditayangkan sekitar pertengahan tahun ini.
“Jadi perancangan berkahwin pada Jun ini memang tak sempat, ikutkan mungkin akhir tahun macam orang selalu buat.
“Sebab itu tiada sebarang persediaan, sebaliknya hanya perbetulkan diri dalam menjadi seorang insan lebih sempurna berbanding sebelum ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Zul memilih untuk merahsiakan identiti bakal isterinya dan hanya akan didedahkan selepas tarikh pernikahan mereka ditetapkan.
“Tak boleh nak kongsikan siapa dia, macam keterlaluan pula kalau perkenalkan sekarang,” katanya.
Sekadar info, Zul Ariffin bakal membintangi filem Syerif yang dibawakan khas oleh Astro Shaw dengan kerjasama Skop Productions. Filem kepolisian tersebut mengisahkan tentang sisi gelap pasukan beruniform di negara ini.
BERITA TRENDING: Tak Mahu Libatkan Diri Dengan Kontroversi Orang Lain, Zul Ariffin Doakan Terbaik Untuk Ruhainies - “Baik Saya Jaga Lidah”
BERITA TRENDING: Teaser Sheriff Baru Keluar, Tapi Ramai Dah Tak Sabar Nak Tengok - “Letupnya! Polis Tangkap Polis Ni Yang Mantap”