Hiburan
Tak Pernah Dibuli Di Set Penggambaran, Iedil Putra Titip Pesan Buat Pelakon - “Jangan Buat Perangai Orang Tak Suka”
Pelakon Iedil Putra mendedahkan dirinya tidak pernah mengalami pengalaman 'dibuli' di set penggambaran sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan.
Kata Iedil, 40, tidak wajar untuk menimbulkan sebarang permasalahan antara pelakon mahupun dengan pihak produksi.
“Sepanjang pembabitan saya dalam dunia industri ini, saya tidak pernah kena buli. Bagi saya, kerjaya lakonan ini adalah professional jadi ada batasnya dan cara bawa diri kita ke set penggambaran perlu dijaga.
“Janganlah buat perangai yang membuatkan orang lain tidak suka dengan kita atau menyusahkan pihak produksi sebab kitakan sama sama buat kerja.
“Setakat ini, saya memahami apa yang pengarah mahukan, dan pengarah juga memahami apa yang saya mampu lakukan. Perkara seperti ini perlu dibincangkan terlebih dahulu.
“Maksudnya, kita perlu membuat keputusan dari awal. Adakah saya sesuai untuk melakonkan watak seperti ini? Adakah pengarah selesa dengan kehadiran saya dalam filem ini? Jika dari awal mereka tidak bersetuju, perkara itu tidak akan berlaku,” katanya kepada Gempak.
Iedil Putra berkata demikian ketika menghadiri Malam Gala filem Jangan Pandang Belakang 2 yang berlangsung di GSC Starling Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, situasi buli tidak seharusnya berlaku memandangkan kerjaya lakonan satu platform berkarya untuk kepuasan.
“Sejujurnya, Alhamdulillah sepanjang kerjaya saya tidak pernah lagi berlaku kes seperti ini.
“Saya tidak akan membenarkanlah perkara ini berlaku. Sebab buat apa kita perlu buat hal sedangkan ini adalah kerjaya kita. Kita disini mencari kepuasan dalam berkarya.
“Kalau dari awal kita boleh elak, lebih baik kita tak perlu ambil tawaran itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, Iedil berpendapat setiap pelakon mempunyai cara tersendiri dalam bekerja dan perlu menjaga profesionalisme dalam kerjaya mereka.
Tegasnya, sikap matang dan mencapai kata sepakat sebelum menerima sebarang tawaran kerja adalah aspek utama dalam memastikan hubungan yang baik dapat dikekalkan.
“Saya rasa semua pelakon ada cara tersendiri dalam dunia lakonan dan menjaga tingkah laku. Mungkin itu pendapat yang sahih untuk dia. Saya tidak tahu sebab itu bukan cara saya bekerja. Saya tidak akan bercakap mengenai itu.
“Misalnya, pelakon pelakon baru ini janganlah dibiarkan diri dibuli. Benda ni boleh dibincang dan tidak perlu cari gaduh sebab kita semua sudah matang, kita bukan budak kecil lagi.
“Apa yang saya boleh katakan, kita sendiri kena pastikan diri kita perlu ada kata kesepakatan sebelum mengambil tawaran tersebut. Jika, kita tidak mendapat sebarang kesepekatan tentang kerja dan kefahaman terhadap karya, tak payah buatlah, carilah benda lain yang lebih menyenangkan hati,” kongsinya.