Laman Utama

"Tanya Kabar, Dalami Situasi Mereka" - Pandang Serius Isu Bunuh Diri, Henry Golding Ajak Rakyat Malaysia Ambil Berat Sesama Sendiri

Asraf Aided
04/07/2021
12:50 MYT
Sponsor Banner
"Tanya Kabar, Dalami Situasi Mereka" - Pandang Serius Isu Bunuh Diri, Henry Golding Ajak Rakyat Malaysia Ambil Berat Sesama Sendiri
Aktor Hollywood dari Malaysia, Henry Golding memandang serius terhadap isu kesihatan mental dan bunuh diri yang berlaku di negara kita ekoran situasi pandemik COVID-19.
Menerusi sebuah video yang dikongsi di Instagram, Henry akui sedih dengan isu yang semakin membimbangkan ini.
"Saya tahu mengenai situasi pandemik di Malaysia yang membuatkan ramai orang tertekan, perintah berkurung juga terus dilaksanakan, jadi, ia memberi kesan kepada kesihatan mental seseorang hingga ada yang terfikir untuk bunuh diri," katanya.
Justeru, pelakon filem Crazy Rich Asians ini menyeru rakyat Malaysia untuk bertanya kabar sesama sendiri ketika masing-masing berhadapan detik sukar ini.
Henry mengajak orang ramai untuk mengambil tahu situasi yang dialami oleh rakan atau kenalan sekurang-kurangnya tiga orang daripada mereka.
"Apa yang saya ingin orang ramai lakukan sangatlah senang, sahut cabaran dengan menghubungi tiga rakan anda, tanya kabar mereka, tak kiralah kawan rapat, kenalan atau sesiapa.
"Kalau boleh, janganlah sekadar panggilan biasa, cuba dalami keadaan terkini mereka yang berdepan segalanya," katanya lagi.
Pada masa yang sama, Henry juga menegaskan bahawa terdapat pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang sedia memberi sokongan moral dan emosi untuk mengelak kejadian bunuh diri, salah satunya Befrienders Kuala Lumpur.
"Jangan putus asa, ada pihak di luar sana yang ambil berat tentang anda, terdapat badan bukan kerajaan dan organisasi yang membantu mencegah bunuh diri dan memberi sokongan emosi.
"Salah satu daripadanya adalah Befrienders, satu perkara yang saya ingin katakan kepada anda semua, ingatlah, ada yang memikirkan, peduli dan bimbang tentang diri anda," katanya lagi.
Befrienders boleh dihubungi pada talian hotline 24 jam, 03-7627 2929.
Pertubuhan Kesihatan Mental Malaysia (Malaysian Mental Health Association) pula boleh dihubungi pada talian 03-7782 5499.
Sama-samalah kita memandang serius isu ini dan menjaga kesejahteraan orang tersayang dan sesama rakyat Malaysia.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar