Hiburan
“Saya Hampir Tolak Sebab Rasa…” - Zahiril Adzim Bincang Dengan Isteri Sebelum Setuju Jadi Duta Bulan Bintang Sedekad Menyinar
Pelakon Zahiril Adzim meluahkan rasa bangga kerana dilantik sebagai duta baharu bagi jenama Bulan Bintang Sedekad Menyinar pada tahun ini.
Menurut Zahiril, atau nama penuhnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, memegang tanggungjawab sebagai duta jenama pakaian baju Melayu itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut komitmen dalam memperagakan pakaian tradisional tersebut.
"Pada awalnya, saya hampir-hampir menolak tawaran untuk menjadi duta Bulan Bintang kerana saya merasakan ia satu tanggungjawab yang besar.
“Saya bukanlah individu yang sering mengenakan baju Melayu dalam kehidupan harian saya. Saya lebih selesa berpakaian santai, tetapi apabila kita menyarungkan baju Melayu, ia akan lebih diperhatikan dan dinilai," katanya ketika menghadiri sidang media Bulan Bintang Sedekad Menyinar yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, pada Ahad.
Tambah Zahiril lagi, dia juga turut berbincang dengan isterinya sebelum menerima tawaran tersebut.
"Saya sempat berbincang dengan isteri saya mengenai tawaran ini. Saya tertanya-tanya sama ada jenama Bulan Bintang ini sesuai dengan personaliti saya atau tidak.
"Saya bukanlah jenis yang suka berpakaian terlalu eksklusif atau elegan. Namun, apa yang menarik tentang Bulan Bintang ialah jenama ini sangat fleksibel.
"Kita boleh memakainya secara santai, tetapi dalam masa yang sama, ia juga boleh digayakan untuk tampil lebih segak dan eksklusif,” jelasnya.
Dalam pada itu, aktor yang terkenal dengan watak Falah dalam drama Andai Tiada Dia ini juga mengakui Bulan Bintang bukan sekadar jenama yang menjual baju Melayu semata-mata, sebaliknya mereka sentiasa tampil dengan idea kreatif dan inovatif.
Hal ini membuatkan dia yakin untuk menerima tawaran sebagai duta jenama berkenaan.
"Saya melihat Bulan Bintang mempunyai idea yang sangat kreatif, terutamanya pada tahun mereka menggunakan pertunjukan drone, yang menjadikan jenama ini tampak berbeza.
"Bulan Bintang ialah satu jenama yang berfikir di luar kotak, bukan sekadar menjual baju Melayu tetapi mempunyai visi yang besar.
"Bila sesuatu jenama melibatkan idea kreatif dan seni yang berkualiti, saya tidak teragak-agak untuk menyertainya.
"Tahun ini merupakan tahun pertama saya menjadi duta Bulan Bintang. Saya berharap dapat membantu, walaupun sedikit, dalam mengangkat jenama ini ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Selain Zahiril, antara selebriti lain yang turut memperagakan koleksi baharu baju melayu untuk raya tahun ini adalah Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Shukri Yahya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul AIman, Johan ‘Jojo’ Ghazali, Hannah Delisha dan ramai lagi.
BERITA BERKAITAN: etizen Tegur Tak Elok Bercakap Ketika Makan, Ini Respons Zahiril Adzim - “Selama Ini Pun Saya Ingat Macam Itu Tapi Rupanya…”
BERITA BERKAITAN: Kehadiran 'Fatah' Undang Tawa, Peminat Teka Bakal Ada Musim Kedua Andai Tiada Dia?
BERITA BERKAITAN: Malaysia Tangisi Pemergian Falah, Adakah Intan Bakal Dapat Pembalasan?
BERITA BERKAITAN: Zahiril Adzim Hargai Peluang Jadi ‘Perencah’ Dalam Andai Tiada Dia - “Terima Kasih Falah”
Must-Watch Video