Hiburan
Terima Tawaran Berlakon MV Raya & Iklan, Aizat Saha Bersyukur Ramadan Serta Syawal Penuh Rezeki
Pencipta kandungan dan pelakon, Aizat Saha menzahirkan rasa syukur atas pelbagai peluang dan tawaran yang diberikan kepadanya sepanjang bulan Ramadan.
Aizat menjelaskan, rasa terharu itu muncul dalam dirinya selepas melihat sokongan yang tidak pernah putus datang daripada peminat dan juga orang ramai.
Syukur
“Saya berasa sangat bersyukur sangat di bulan mulia iaitu bulan Ramadan ni, banyak tawaran yang saya terima seperti berlakon dalam muzik video dan iklan-iklan untuk puasa dan raya.
“Perkara sebegini memberi impak besar kepada diri saya juga kerana saya anggap perkara-perkara baharu seperti ini memberi peluang untuk saya belajar.
“Dalam masa sama, saya juga terharu kerana masih ramai yang menyokong saya. Jujurnya, saya berharap dapat balas semula sokongan-sokongan itu dengan kejayaan yang membina kepada mereka semua,” katanya kepada Gempak.
Hari Raya Aidilfitri
Dalam pada itu, Aizat turut mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan kepada peminat-peminatnya.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf secara zahir dan batin kepada semua.
“Selain itu, saya ingin mendoakan perjalanan semua yang menyambut hari raya selamat pergi dan balik. Doa sejahtera kepada semua juga saya sertakan dalam akhir kata ini, insya-Allah,” katanya lagi.
Untuk rekod, Aizat telah membintangi beberapa muzik video iaitu Raya Mana nyanyian Nabila Razali dan Meriahnya Raya dendangan Shiha Zikir.
Selain itu, Aizat turut terpilih untuk membintangi iklan jenama Farm Fresh Ramadan dan Raya Plus One - Lanai Asmara.
Terdahulu, Aizat membina nama di platform TikTok menerusi video-video POV dengan menggunakan lagu-lagu popular seperti Azimat Cinta dan Pelita Di Bawah Purnama.