Hiburan
Tiada Lagi Gambar Bersama Di Media Sosial, Rumah Tangga Baim Wong Didakwa Goyah?
Pelakon Indonesia, Baim Wong masih mengunci mulut berhubung khabar angin rumah tangganya bersama isteri, Paula Verhoeven sedang bergolak.
Dakwaan tersebut mula tercetus selepas Baim dan isteri disyaki sudah tidak tinggal sebumbung.
Dalam pada itu, menurut laporan portal Indonesia Popbela, hubungan Baim dan Paula dikatakan berantakan selepas mereka tidak saling berkongsi foto bersama di media sosial.
Malah, isterinya itu juga tidak kelihatan semasa majlis ulang tahun bapa aktor berkenaan pada Jun baru-baru ini.
Sementara itu, menerusi video dimuat naik di aplikasi YouTube miliknya, Baim memohon maaf kepada wartawan kerana tidak dapat memberikan kenyataan berhubung konflik rumah tangganya itu.
“Buat wartawan saya tak boleh beri kenyataan buat masa ini. Saya mohon maaf, tetapi doakan yang terbaik untuk kami,” tuturnya.
Sekadar info, Baim dan Paula mendirikan rumah tangga pada 2018 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Kiano, 3, dan Kenzo, 2 tahun.