BERITA
Tiket Konsert Laris Sejak 7 Bulan Lalu, KRU Buktikan Mereka Masih Gah
Kumpulan rap popular, KRU yang bakal mengadakan konsert sempena 25 tahun dalam industri muzik membuktikan mereka masih popular apabila tiket persembahan itu laris dijual.
Datuk Norman Abdul Halim berkata, pra jualan tiket konsert yang bermula sejak September tahun lalu mencatatkan sambutan memberangsangkan daripada peminat.
Apa yang mengejutkan, tiket paling murah berharga RM158 sudah habis dijual sebelum ia dijual secara dalam talian, kelmarin.
"Konsert kali ini mempunyai 14 zon tempat duduk. Sebanyak 5 zon untuk tiket dibawah harga RM388 sudah habis dijual," katanya kepada Astro Gempak.
Tambahnya, pada mulanya sepanjang 2 hingga 3 bulan lalu, ramai peminat bertanya jika konsert yang dijadualkan selama tiga hari di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 4 Mei nanti ditangguhkan kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Kami tetap teruskan tanpa apa-apa perubahan. Banyak persediaan sudah dilakukan dan sehingga kini berjalan lancar," katanya.
Norman memberitahu, adiknya Yusry bertindak sebagai pengarah kreatif dalam konsert kali ini dibantu Lisa Surihani yang pertama kali terbabit selaku penerbit eksekutif 2.
"Konsert Gergasi 25 KRU ini akan menjadi persembahan yang membawa nostalgia dari mula KRU dalam bidang muzik sejak tahun 1993 dikenali menerusi lagu Mengerti dan Janji Tinggal Janji sehingga lagu masa kini antaranya Hingga Ke Jannah.
"Seperti mana konsert di Singapura sebelum ini, kebanyakan peminat yang datang berusia 30-an dan 40-an dan kami menjangkakan kelompok usia peminat sebegini termasuk peminat generasi baru akan bersama untuk berhibur kali ini," katanya.
Bagi Norman, konsert ini istimewa kerana ia menjadi satu perjalanan yang membawa kenangan lama dengan rasa 'flash back' terhadap momen lagu itu pada zaman tersebut.
"Setiap lagu mempunyai penceritaannya dan secara keseluruhan kami janjikan sesuatu yang istimewa daripada persembahan yang pernah ditonton peminat sebelum ini.
"Tiket lebih mahal sehingga mencecah RM1,188 untuk tempat duduk VIP sebab tempat adalah terhad dan kos produksi juga tinggi. Difahamkan, peminat dari luar negara seperti Jepun, UK, Australia dan Thailand juga akan hadir.
"Ini menunjukkan impak penjualan secara 'online' lebih cepat habis dijual dan ketika ini hanya berbaki 900 tiket yang tinggal," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @lisasurihani
Must-Watch Video