“TikTokers Bukan Satu Pekerjaan!” - Dr Malar
Ramai dalam kalangan generasi muda sekarang enggan menyambung pelajaran hanya kerana ingin menjadi pempengaruh media sosial atau TikToker.
Menerusi Facebook, pegawai perubatan yang terkenal di laman sosial iaitu Dr Malar bagaimanapun menganggap TikToker bukanlah satu pekerjaan kerana tidak mempunyai sumber pendapatan stabil.
“TikTokers bukan satu pekerjaan! Ya, itu pendirian saya. Saya minta maaf kalau ada ibu bapa yang tak setuju atau pun ada cikgu yang tak setuju.
“Tapi saya berpegang teguh dengan pendirian ini iatu menjadi TikTokers bukanlah satu pekerjaan,” tegasnya.
Malah Dr Malar turut meluahkan rasa terkilan apabila ramai dalam kalangan pelajar yang lebih berminat menjadi pempengaruh ketika dia mengendalikan ceramah di sebuah sekolah di Ampang.
“Saya ada memberi ceramah kesihatan di sebuah sekolah di Ampang. Maka dikesempatan itu, saya bertanya adik-adik Tingkatan 3 tu semua. Siapa nak jadi doktor? Adalah dalam lima hingga enam orang angkat tangan.
“Siapa nak jadi engineer? Dalam dua hingga tiga orang angkat tangan. Siapa nak jadi cikgu? dalam empat hingga lima orang angkat tangan. Saya rasa pelik sangat sebab jumlah pelajar adalah lebih kurang 200 orang.
“Jadi dengan perasaan ingin tahu, saya bertanya, ‘korang semua nak jadi apa?’ Masing-masing menjerit sesuatu dan saya tak berapa dengar apa yang mereka sebutkan. Maka saya tanya, ‘siapa nak jadi TikToker?’
“Suku dewan tu angkat tangan, terutama perempuan yang duduk di belakang. ‘siapa nak jadi YouTuber?’ lagi suku dewan angkat tangan, kali ini lelaki majoriti. Saya tergamam jap!” luahnya.
Beliau juga memberitahu kebanyakkan usahawan seperti Khairul Aming menggunakan platfrom itu sebagai tempat untuk dia berniaga selain turut mendedahkan kehidupan sebenar pempengaruh yang bergantung membuat ‘reviu’.
Dr Malar turut berharap agar golongan muda pada masa kini untuk keluar menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran sebanyak yang mungkin selain mencari pekerjaan yang boleh menjana sumber pendapatan stabil.