Laman Utama
Tracie Sinidol Tak Kisah Kalau Rakan Seperjuangan Famous Dulu - “Kejayaan Mereka, Kejayaan Saya Juga”
Juara Dewi Remaja 2022, Tracie Sinidol menjelaskan dia tidak kisah seandainya finalis lain dalam program tersebut akan lebih menyerlah daripadanya pada masa akan datang.
Jelas Tracie, 19, dia percaya kepada rezeki dalam industri hiburan yang sudah ditetapkan Tuhan dan baginya kejayaan rakan seperjuangan juga merupakan kejayaan buat dirinya.
“Itu semua bergantung kepada usaha masing-masing, siapa yang ingin berjaya dia perlu berjuang ke arah itu.
“Kalau ada yang berjaya dahulu, itu tidak mengapa kerana rezeki masing-masing sudah ditetapkan.
“Saya mahukan semua dewi-dewi musim saya untuk kami berjaya bersama-sama, her success is my success.
“Kalau boleh semua saya doakan untuk berjaya menempah nama dalam industri hiburan Malaysia serta memeriahkan lagi industri tanah air,” ujarnya kepada Gempak usai acara kemuncak program itu yang berlangsung pada Sabtu di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Ditanya mengenai persiapan diri untuk berhadapan dengan kontroversi, Tracie mengakui dia sudah bersedia untuk perkara itu.
Malah, ibunya turut menyampaikan beberapa pesanan buat dirinya.
“Secara jujur saya sudah pun mempersiapkan diri saya selepas ini seandainya dilanda kontroversi pada masa akan datang.
“Ibu saya turut berpesan kepada saya untuk sentiasa menerima kecaman dan pujian daripada orang lain, dua perkara ini akan saya ingat dalam fikiran saya.
“Untuk saya, kecaman itu ada waktunya perlu untuk saya perbaiki diri saya untuk menjadi lebih baik.
“Manakala pujian itu pula sebagai pembakar semangat untuk saya sebagai pendatang baharu untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” tambahnya.
Sabtu lalu, program Dewi Remaja 2022 telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Tracie Sinidol diangkat sebagai Juara dan turut menerima anugerah Ratu Favorite telah membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM10,000 serta sebentuk tiara.
Sementara itu tempat kedua milik Bee manakala tempat ketiga milik Kimberly.
Tempat keempat milik Alyssa yang turut memenangi anugerah Dewi Activ Kinohimitsu Award.