Tular Tangkap Layar Terima Notifkasi TikTok Dari Akaun Dipercayai Milik Fattah Amin, Amira Othman; “Saya Tiada Apa Nak Ulas, Biar ‘Detektif’ Netizen Buat Kerja”
Nama penyanyi Amira Othman terus hangat diperkatakan selepas muncul dengan gimik bersama pelakon, Fattah Amin sehinggakan ada yang sanggup meneliti setiap gerak-geri dua figura ini.
Terbaharu, tular sepotong video di TikTok yang memaparkan tangkap layar telefon Amira Othman yang dipercayai ada menerima notifikasi dari aplikasi TikTok yang didakwa milik akaun Fattah Amin.
No komen
Mengulas mengenai perkara tersebut, Amira atau nama lengkap Nadia Amira Othman, 31, berkata dia enggan memberikan komen lanjut.
Malah, hanya menyerahkan segala tugas kepada warganet untuk menjadi ‘detektif’.
“Saya tiada apa nak ulas, apa yang saya cerita sebelum ini itu sahaja yang saya boleh cakap.
“Saya pun bukan orang yang kongsi berlebihan mengenai hal peribadi kerana tidak selesa.
“Tentang Fattah ini tiada apa yang saya boleh komen, apa yang anda nampak itu memang atas dasar kerja yang lebih-lebih itu saya tak tahu nak komen macam mana.
“Kami berkawan, notifikasi kami berhubung di media sosial itu kalau ada yang nampak, biar sahaja detektif netizen yang buat kerja,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada majlis sidang media Rissa Skin X Fattah Amin di Hotel Royale Chulan, Damansara pada Sabtu.
Dalam pada itu, pelantun lagu Hati-Hati itu juga akui terhibur melihat spekulasi dan andaian yang dibuat oleh warganet mengenai dirinya dan Fattah Amin.
“Notifikasi itu kadang-kadang butang suka pun boleh jadi notifikasi, stiker pun sama. Saya dah tutup notifikasi sosial media saya, kalau ada mungkin stiker atau like.
“Saya terkejut dan tergelak kadang-kadang macam-macam spekulasi ada.
“Tapi buat masa ini saya tiada kenyataan yang ingin diberi.
“Mengenai hal itu (terima notifikasi Fattah Amin) saya pun tidak pasti, kena periksa semula nanti. Adakah betul notifikasi itu dari Fattah,” tambahnya lagi.
Terdahulu, nama Amira, disebut sebagai wanita paling akrab dengan duda terhangat itu selepas penyanyi berkenaan mengundang Fattah tampil dalam video muzik single terbaharunya berjudul Bila Nak Kahwin.
Bagaimanapun, Amira menegaskan kerjasama dalam muzik video terbabit hanya gimik antara syarikat rakaman Sony Music Entertainment dengan pengurusan Fattah.
Sejak itu, Amira yang masih bujang didapati mula berganding dengan Fattah dalam aktiviti pemasaran beberapa produk yang mengambil bereka sebagai jurucakap.
Fattah bercerai dengan bekas isteri yang juga pelakon, Nur Fazura pada 7 Oktober lalu.