Laman Utama
Usia 37 Tahun, Mustaqim Bahadon Tak Terburu-Buru Nak Kahwin - "Saya Tak Mahu Lepas Nikah Ada Masalah ..."
Pelakon Mustaqim Bahadon, 37, masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya.
Menurut pelakon filem Anak Rimau The Movie ini, kehadiran pandemik membuatkan Mustaqim terpaksa menunda hajat untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya.
"Saya dan kekasih sudah lama kenal, tetapi kami mula rapat pada 2018. Orang cakap usia 37 tahun dah lewat. Ramai orang mahu berkahwin secepat mungkin, tetapi bagi saya, bila sudah bersedia, baru saya akan mendirikan rumah tangga.
"Kekasih ada bertanyakan dan menanti langkah seterusnya tetapi dia sangat memahami keadaan saya. Saya bersyukur dia faham dengan apa yang saya tempuhi. Dia tahu susah payah saya dan saya juga tahu apa yang dia lalui.
"Mungkin kerana pandemik membuatkan saya masih menangguhkan langkah untuk berkahwin. Banyak perkara yang perlu saya utamakan sekarang ini, terutamanya keluarga sendiri dahulu," katanya.
Dalam pada itu, Mustaqim mahu betul-betul bersiap sedia sebelum membuat keputusan untuk melayari alam rumah tangga.
"Saya nak stabilkan diri semula pasca pandemik kerana perkahwinan ini bukan sekadar kumpul duit untuk bernikah sahaja. Kehidupan sebenar bermula selepas berkahwin, saya kena fikir apa yang bakal jadi selepas kahwin nanti untuk memulakan keluarga.
"Biarlah saya stabilkan diri semula dalam bidang lakonan dan perniagaan, barulah saya fikir untuk berkahwin. Saya tak mahu menyusahkan orang. Saya tak mahu selepas nikah ada masalah kewangan dan sebagainya," katanya.
Cabaran Anak Rimau The Movie
Mustaqim ditemui di malam gala filem Anak Rimau The Movie yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
Mengulas mengenai wataknya dalam filem terbitan terbitan Keeklr Films Sdn Bhd itu, Mustaqim tiada sebarang masalah membawakan karakter sebagai Coach Khalid.
"Cabaran yang kami hadapi sepanjang penggambaran filem ini adalah cuaca. Memandangkan cerita ini berkisarkan mengenai bola sepak, banyak babak yang dirakamkan di padang dalam keadaan cuaca yang sangat panas.
"Saya puji pelakon-pelakon cilik yang membintangi filem Anak Rimau The Movie. Biarpun mereka adalah atlet sebenar, mereka tidak kekok berlakon dan ada bakat semula jadi," katanya lagi.
Anak Rimau The Movie mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 1 September lalu.