Laman Utama
Video Alasan Rentas Negeri: Instafamous Hafiz Mahamad Dikompaun RM1,500
Selebriti media sosial (instafamous), Hafiz Mahamad dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dalam video adegan raya membabitkan anggota polis berpakaian seragam yang dimuat naik di laman sosial miliknya, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara itu dikeluarkan selepas lelaki terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, kelmarin.
Mengulas mengenai video itu, beliau berkata pihaknya mengesan ia dimuat naik individu terbabit pada 9.15 malam, Ahad lalu dan semakan mendapati lokasi adegan raya itu dilakonkan di Bukit Rimau, Presint 3, di sini.
"Video itu turut membabitkan kenderaan polis jenis Proton Preve serta kenderaan persendirian jenis Honda City milik lelaki tempatan dan anggota yang terbabit dalam adegan lakonan itu berpakaian penuh seragam," katanya.
Katanya, dua anggota polis dan seorang anggota tentera yang terabit dalam video itu sedang bertugas dalam pasukan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) IPD Putrajaya.
"Saya tidak pernah membenarkan video itu dirakam atau dikeluarkan dan tiada bayaran atau sagu hati diterima pihak polis dalam hal ini," katanya.
Sebelum ini, Hafiz menerima kecaman daripada netizen gara-gara memuat naik sebuah video yang melibatkan tiga orang barisan petugas hadapan (frontliners).
Sumber: Bernama