Laman Utama

Video Iklan Raya Judi, Pelakon Dakwa Tak Dimaklumkan Lebih Awal

Asraf Aided
17/04/2021
01:45 MYT
Sponsor Banner
Video Iklan Raya Judi, Pelakon Dakwa Tak Dimaklumkan Lebih Awal
Ekoran iklan raya mempromosikan aktiviti perjudian yang mencetus kemarahan ramai sejak kelmarin, beberapa pelakon dalam video tersebut tampil memberi kenyataan.
Memetik laporan mStar, ketiga-tiga individu terbabit mendakwa mereka pada awalnya tidak dimaklumkan rakaman itu bertujuan mempromosikan aktiviti perjudian.
"Seorang wakil dari produksi hubungi dan memasukkan kami ke dalam group WhatsApp diberi nama 'Raya MV Shoot March 2021'.
"Saya beli baju raya semata-mata untuk penggambaran tersebut tanpa mengetahui ia mewakili jenama yang mana satu.
"Sudah jadi kebiasaan pemilik jenama merahsiakan produk mereka, malah ketika penggambaran pun, mereka cakap jangan rakam video dan jangan beritahu sesiapa kerana ia sebuah kejutan," kata salah seorang pelakon yang enggan dinamakan.
Tambah individu berusia 26 tahun itu, dia menyesal kerana tidak berani menarik diri dan meneruskan penggambaran.
"Pada awalnya memang berkaitan raya, tapi masuk bahagian kedua di hujung penggambaran baru kami sedar ia adalah judi.
"Pihak produksi minta kami lip sync empat baris lagu yang jelas tentang perjudian.
"Saya menyesal sebab tak berani tarik diri sedangkan kami tiada sebarang kontrak, saya jadi panik, kawan-kawan lain pun kena dan saya rasa bersalah," katanya lagi.
Sementara pelakon utama yang terbuka berkongsi nama, Saifullah Mohd Yunus, 24, akui kecewa dengan kejadian menimpa mereka.
Menurutnya, dia terpaksa meneruskan penggambaran kerana mahu bersikap profesional.
"Kami sangat profesional, takkan kita nak minta produksi hentikan dan kami pulang.
"Memandangkan penggambaran sudahpun siap dalam 70 peratus, kami teruskan sahaja seperti yang dirancang," katanya.
Difahamkan, Saifullah dan rakan-rakan lain sedia memberi kerjasama kepada pihak polis berkaitan isu terbabit.
Menerusi laporan Gempak semalam, pihak polis sedang mengesan penerbit dan pelakon yang terlibat dalam video raya tular yang mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan duit raya itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah berkata, isi kandungan video itu didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.
BACA: Polis Kesan Penerbit & Pelakon Iklan Raya Judi
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar