Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

Video Pelekat Bentuk Tapak Kaki Tertera Kalimah Allah Viral Balik, Ini Respon MR DIY

Muhammad Firdaus 19/03/2024 | 05:25 MYT

Belum ‘surut’ lagi tentang isu kalimah Allah di stoking, kali ini tular pula tentang kalimah suci itu dijumpai di atas pelekat berbentuk tapak kaki.

Menerusi satu video yang tersebar di media sosial, seorang individu menyatakan rasa terkejut setelah mendapati sticker berbentuk tapak kaki yang dibelinya dari sebuah cawangan kedai MR DIY mempunyai tulisan tertera kalimah Allah dan Muhammad.

BERITA TRENDING: Murtad Pada 2019, Anwar Hadid Kembali Peluk Islam Bersyukur Dapat Tunai Umrah

Kalimah suci itu juga dapat dilihat disembunyikan di sebalik plastik hitam yang perlu dibuka sebelum menggunakan alat tersebut.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan yang dibuat oleh francais itu, video berkenaan merupakan klip kejadian yang berlaku sekitar Februari 2019 dan kembali tular akibat daripada isu hangat sebelum ini.
Turut didapati, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah pun mengambil tindakan dengan melakukan pemeriksaan terhadap gudang rangkaian kedai perkakas rumah tersebut selain daripada menyita 32 produk berikut.
"Kami merujuk kepada video yang pertama kali disiarkan pada Februari 2019 yang sedang tular semula di media sosial kini, mengenai produk yang dijual di MR DIY.
"Apabila perkara tersebut dibawa ke perhatian kami pada ketika itu, tindakan segera diambil untuk menarik balik produk berkaitan dari premis kami. Pihak kami juga telah berunding dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkenaan dengan panduan pengurusan baki inventori yang ada. Atas nasihat mereka, produk tersebut telah diserahkan kepada KDN untuk dilupuskan secara mulia dan tertib.
"Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin kerana membawa perkara ini ke perhatian kami dan memberi jaminan kepada semua bahawa produk berkenaan tidak dijual di mana-mana cawangan kami sejak Februari 2019. Kami komited untuk menjadi peruncit kepada semua rakyat Malaysia," tulis pihak MR DIY.
Terdahulu, salah sebuah francais kedai runcit di Malaysia turut terpalit dengan kontroversi sama apabila stoking yang dijual mempunyai penggunaan kalimah Allah.
Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak di mana majoriti mengambil keputusan untuk memboikot kedai serbaneka terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Susulan penemuan itu, pengurusan tertinggi kedai runcit berikut membuat permohonan maaf berhubung insiden penjualan stoking yang berlaku di salah sebuah cawangan Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.
Sumber: Facebook/Majoriti

#Viral #Islam #Allah #Agama #Hina #Kalimah #MR DIY
;