Hiburan

Wani Kayrie Syukur Lagu ‘Aiman Tino’ Dapat Respons Positif - “Tidak Dinafikan Bila Pertama Kali Dengar…”

Asyikin Mayudin
30/11/2024
06:55 MYT
Sponsor Banner
Wani Kayrie Syukur Lagu ‘Aiman Tino’ Dapat Respons Positif - “Tidak Dinafikan Bila Pertama Kali Dengar…”
Selepas setahun tidak muncul dengan lagu baharu, penyanyi Wani Kayrie mengakui lega apabila single berjudul, ‘Aiman Tino’ mula mendapat maklum balas positif.

Mesej yang berbeza

Tiada kaitan dengan penyanyi Aiman Tino, Wani bagaimanapun turut menyifatkan mesej yang disampaikan dalam lagu tersebut juga berbeza daripada apa yang disangkakan oleh orang ramai.

“Bila saya teliti semula komen-komen untuk perbaiki, rata-ratanya sudah mula berikan maklum balas positif. Sebelum ini, orang hanya dengar bahagian korus sahaja.

“Bila versi penuh sudah keluar, ada yang sudah faham maksud dan penceritaan lagu ini,” katanya kepada Gempak.

Komposer hebat

Penyanyi berusia 24 tahun ini juga amat berbesar hati untuk menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat, Ezra Kong itu yang turut disifatkan menepati jiwa dan identitinya sebagai penyanyi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wani Kayrie Enggan Terburu-Buru, Keluarga Tak Galak Kahwin Muda - “Saya Banyak Komitmen, Kadang-Kadang Sabar Itu Lebih Indah”

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan Ambil Pusing Soal Kontroversi Konsert, Wani Kayrie Hanya Mahu Buat Persembahan - "Selepas Mengetahui Berita Itu Saya..."

“Pada awalnya saya terima demo, tajuk dia memang Aiman Tino. Saya ingat bukan untuk saya. Tapi, Ezra kata memang lagu ini untuk saya.

“Tidak dinafikan bila pertama kali dengar lagu ini, saya suka melodinya yang rancak dan menepati jiwa saya. Liriknya juga senang untuk dihafal di mana sangat dekat dengan cita rasa pendengar sekarang.

“Saya sangat berbesar hati menerima lagu ciptaan Ezra Kong yang sememangnya hebat dalam mencipta lagu,” jelasnya.

Minta kebenaran

Sementara itu, Shakireen Othman selaku Ketua Muzik dan Kandungan Rocketfuel mengesahkan pihaknya sudah menghubungi syarikat rakaman Aiman Tino untuk meminta kebenaran menggunakan nama penyanyi itu sebagai judul lagu tersebut terlebih dahulu.

“Ada saja lagu-lagu terdahulu yang menggunakan nama orang. Kita pilih nama Aiman Tino itu sebab kena dengan bait lirik lagu tersebut.

“Ketika Ezra datang dengan demo, kami cuba tukar dengan nama lain tapi tidak senada dengan lirik yang ada. Kami juga ada hubungi syarikat rakaman Aiman Tino untuk mendapatkan kebenaran mereka menggunakan nama Aiman.
“Jadi, itu hanya sekadar nama sahaja dan lagu itu berkisahkan seorang wanita meminati lelaki yang berwajah seperti Aiman Tino,” katanya.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024