Laman Utama

Warewolf Dari Indonesia Datang Buat Kecoh Di Kampong Pisang, Teknik Solekan Serigala Jadian Guna CGI!

Azwa Rahman
19/12/2020
12:50 MYT
Sponsor Banner
Warewolf Dari Indonesia Datang Buat Kecoh Di Kampong Pisang, Teknik Solekan Serigala Jadian Guna CGI!
Drama premium terbitan Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-siri akan menampilkan serigala jadian sebagai hantu dalam episod ketiga yang akan ditayangkan pada Isnin ini.
Diberi judul Warewolf Dari Indonesia, karya pengarah tersohor Mamat Khalid ini menampilkan pelakon Hushairi Hussien dan Wan Raja sebagai serigala dan Azlan Komeng menjadi ranjer hutan.
Menitikberatkan soal solekan dan tatarias serigala jadian, Mamat menjelaskan pasukannya menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) berbanding solekan tangan.
“Solekan serigala jadian untuk episod ini sangat minimal. Kami menggunakan teknik CGI untuk membentuk wajah mereka menyerupai serigala.
“Ada babak yang anda akan nampak itu CGI apabila keluar pelbagai benda daripada muka mereka dan ada babak seperti bergaduh, anda tak akan perasan ia menggunakan teknik CGI kerana ia terlalu detail,” ujar Mamat menerusi sedutan temu bual bersama Astro Shaw.
Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.
Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.
Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar