Laman Utama
Yana Samsudin Pernah Tolak Rombongan Merisik Fadzil Zahari - "Masa Tu Saya Nak Beli Rumah Dulu, Tak Ralat Pakai Kereta Kelisa"
Pelakon Yana Samsuddin mengakui pernah menolak secara baik rombongan merisik yang dihantar suaminya, Fadzil Zahari suatu ketika dahulu.
Mengimbas semula detik-detik awal sebelum mendirikan rumah tangga dengan Fadzil, kata Yana, dia harus melunaskan impian dan tanggungjawab terhadap keluarga sebelum berumah tangga.
"Saya tahu Fadzil sebenarnya sudah lama menyukai saya, malah dia juga pernah menghantar rombongan merisik ke Johor pada ketika itu, namun ditolak secara baik. Bukan apa, banyak perkara yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
"Saya ingin membeli rumah buat keluarga terlebih dahulu, malah tidak ralat biarpun hanya memakai kereta Kelisa pada ketika itu. Biarlah orang lain menukar kereta dan sebagainya, saya setia dengan kereta lama kerana banyak yang saya impikan pada masa itu.
"Alhamdulillah, Setelah segalanya terlaksana, saya bersedia untuk memikirkan mengenai diri sendiri ada usia 30 tahun. Saya bersyukur walau apa jua cabaran dan rintangan, Fadzil sentiasa berada di sisi," kata Yana.
Yana berkongsi mengenai percintaanya bersama suami ketika menyertai sesi IG Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) yang bersiaran pada Jumaat.
Sesi itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember depan.
Dalam pada itu, Yana turut berkongsi pengalaman duduk di kerusi pengarah menerusi filem pertama arahannya, Selamat Pagi Cinta yang ditayangkan pada 2008.
“Saya bermula sebagai penyanyi bagi lagu filem Mami Jarum yang mana pada ketika itu baru berusia 17 tahun. Kemudian saya bekerja di Metrowealth International Group (MIG) di bahagian ‘editing’ maka disitulah bermula segalanya.
“Saya merupakan pengarah termuda pada usia 23 tahun mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta lakonan Fazura. Kutipan bagi filem berkenaan hampir mencecah sejuta yang boleh dikatakan cukup baik pada masa itu.
"Saya ditawarkan filem kedua, saya cakap pada David Teo saya ada skrip sendiri dan dia tanya genre apa? Kata saya cerita aksi iaitu Bini-Biniku Gangster.
"Skrip itu diterima tapi saya pula dipilih jadi heroin, sejak itu penerbit minta saya berlakon saja sampai tak sempat nak mengarah lagi,” ceritanya.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!