Laman Utama
Yatt Hamzah Tak Gentar Walau Diancam Bunuh Sebab Sokong Palestin - "Aku Pernah Saksikan Tembakan Zionis Depan Mata"
Pelakon Yatt Hamzah tidak gentar untuk terus memberikan sokongan kepada penduduk Palestin yang tertindas dengan kekejaman rejim Zionis.
Cerita Yatt, semangatnya lebih membara untuk istiqamah menyokong perjuangan Palestin terutamanya di Gaza apabila menyaksikan sendiri kekejaman Israel ketika dia berada di sana beberapa tahun lalu.
"Kenapa aku tekad sokong Palestin? Kerana aku telah ke Gaza tahun 2013 bersama anak sulungku, Suci Hanania Malika yang baru berusia tiga tahun ketika itu.
"Aku saksikan sendiri penderitaan rakyat Palestin dan kekejaman Israel di depan mataku.
"Aku mendengar sendiri tembahan Zionis laktatullah! Mana mungkin mata dan telinga aku menipu.
"Dan sejak itu aku berjanji pada diriku akan sentiasa istiqamah membantu dan menyokong perjuangan membebaskan masjid Al-Aqsa!" katanya.
Dalam pada itu, perjuangan Yatt turut berdepan halangan apabila dirinya pernah menerima ancaman bunuh selain akaun Facebooknya pernah disekat berkali-kali.
"Walaupun aku jauh dari mereka dan hanya seorang wanita biasa, ibu kepada enam anak! Namun aku tak gentar.
"Walaupun telah mendapat ancaman bunuh dan akaun IG, Facebook ku sentiasa disekat, digodam dan dibuang followers, aku tak gentar.
"Kerana perjuangan kecil ku ini hanya untuk agamaku kerana Allah Taala," tambah Yatt lagi.
Bukan hanya Yatt, ramai lagi selebriti yang tampil menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang dicabul hak asasi oleh Israel.
Memasuki hari ke-11, negara Palestin terus bergolak diancam rejim Zionis dan angka korban penduduk tidak berdosa terus meningkat.