Hiburan
Zara Zya Enam Hari Masuk Hospital, Bacaan Darah & Vitamin D Rendah - “Nampak Sihat Luaran Tapi…”
Pelakon Zara Zya dirawat di sebuah pusat perubatan akibat mengalami kadar bacaan rendah hormon kortisol dan vitamin D dalam badan sejak enam hari.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, bersyukur dia mendapatkan rawatan dengan ubat-ubatan.
"Hari keenam, terus berjuang. Doktor pun belum dapat diagnos lagi penyakit saya untuk kali ini. Cuma yang pasti berkaitan tulang leher, tulang belakang dan artritis (radang sendi).
"Saya juga mengalami hormon kortisol, vitamin D dan hemoglobin (darah) rendah. Tetapi masalah ini dapat dirawat dengan ubat yang ada, Alhamdulillah," katanya.
Zara turut memuat naik fotonya berada di atas katil hospital.
Dalam pada itu, pelakon drama Tuan Anas Mikael itu memohon orang ramai mendoakan kesihatannya.
"Sebelum ini saya dah jalani pembedahan buang fibroid dan cyst.
"Saya harap penerangan ringkas ini dapat difahami dengan mudah oleh anda semua.
"Doakan kesembuhan saya yang nampak sihat luaran tapi sakit dalaman ini ya," katanya lagi.
Terdahulu, Zara pernah menjalani pembedahan membuang beberapa ketumbuhan cyst dan fibroid pada 31 Mei tahun lalu.