Berita
"Tawaran Lakonan Masih Ada Cuma Adakalanya Saya Tolak Sebab ..." - Ako Mustapha
Pelakon Ako Mustapha mengakui masih menerima tawaran lakonan walaupun sejak akhir-akhir ini kurang muncul di kaca televisyen.
Menurut Ako, dia tidak berminat menerima tawaran lakonan yang sama sahaja kerana mahukan sesuatu berbeza dalam kerjaya.
"Alhamdulillah, tawaran lakonan masih ada cuma buat sekarang ini saya banyak menolak tawaran yang diberikan.
"Ini kerana kebanyakan watak diberikan sama sahaja dan jika boleh saya mahukan sesuatu yang beberbeza dan mencabar keupayaan saya sebagai pelakon.
"Mungkin jika ada yang benar-benar menarik perhatian saya akan terima.
"Buat masa sekarang saya lebih selesa tumpukan perhatian pada keluarga dan memberi keutamaan pada perniagaan yang dijalankan," katanya kepada Astro Gempak.
Ako berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Super Spontan Xtravaganza (SSX), di Hotel Putrajaya Marriott, baru-baru ini.
SSX bakal bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat bermila 20 Julai, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).
Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.
Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.
Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.
SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Foto: Instagram