Big Stage 2023
"Ada Kata Muka Saya Macam Bab*" - Nadeera Zaini Sedih, Parents Pun Nangis Anak Kena Faceshaming Netizen!
Juara Big Stage 5, Nadeera Zaini akui terkilan dengan segelintir warganet yang tanpa segan silu menulis komen berbaur negatif di akaun media sosialnya, termasuk menggelarkan wajahnya buruk.
Dedah Nadeera, 30, komen-komen terbabit secara tidak sengaja dibacanya hingga menggores perasaan bukan hanya dirinya bahkan juga keluarganya.
"Saya sebenarnya memang tak baca dan tak nak baca komen lepas saya dikecam teruk pada minggu ketiga Big Stage.
"Malangnya, ketika saya balik rumah saya sedang tengok gambar-gambar, tak disengajakan saya tertengok satu notification keluar di telefon. Dia tulis 'muka tu macam bab*'.
"Keluarga saya pun ada meluahkan perasaan kepada saya, kedua-dua orang tua saya nangis, mak saudara saya call saya menangis. Mereka tanya 'kenapa ramai sangat orang menghina saya sampai macam ni?'.
"Saya cakap sabar, ini baru permulaan. Asam garam saya, takkan semua benda manis saja. Ketika saya terbaca, saya terus nangis," cerita Nadeera.
Akui Nadeera, soal wajah dan badan tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan tidak kira sesiapa sahaja dalam masyarakat.
"Saya pantang orang bergurau soal rupa, sebab itu semua Allah yang cipta. Jadi saya nak tanya balik kepada semua yang berkata begitu pada saya, kalaulah ia terjadi kepada ahli keluarga atau diri sendiri, bagaimana awak rasa?" ujarnya lagi.
Terdahulu, ketika keluar montaj promosi Nadeera di skrin utama dewan MBSA Shah Alam, penyanyi itu mendedahkan dirinya kerap dikecam dan mendapat komen negatif melabelkan wajahnya buruk.
Momen itu juga mencetuskan rasa sayu dalam kalangan penonton termasuk juri tetap, Ajai dan Aina Abdul.
"Saya nak babap siapa yang cakap Nadeera buruk," kata Ajai yang turut terkesan dengan komen biadab warganet.
Malam tadi, Nadeera melakar kemenangan bergaya menerusi lagu Never Enough dan Gundah dalam pusingan battle mash up.
Manakala Waode pula diangkat sebagai naib juara dan tempat ketiga menjadi milik Putera Muhammad.