Tempatan

Ford Maverick - Trak Pikap Kompak, Lebih Kecil Daripada Ranger

Erywan
11/06/2021
02:55 MYT
Sponsor Banner
Ford Maverick - Trak Pikap Kompak, Lebih Kecil Daripada Ranger
Berikutan pelancaran F-150 Lightning pada bulan lalu, Ford kini melancarkan satu lagi trak pikap iaitu Maverick. Bagaimanapun, ia berbeza dengan trak pikap Ford yang sedia ada kerana ia menggunakan binaan unibody yang kompak, sekali gus menjadikan model terbaru ini pesaing terdekat Honda Ridgeline dan Hyundai Santa Cruz.
Dari segi ukuran, Maverick lebih kecil dan pendek berbanding Ranger dengan ukuran panjang 199.7 inci, lebar 72.6 inci, tinggi 68.7 inci dan tapak roda 121.1 inci. Biarpun begitu, konsep ‘Ford Built Tough’ masih dikekalkan dengan kemampuan untuk membawa beban maksimum 680kg dan kapasiti tunda maksimum 907kg.
Bagi pasaran Amerika Syarikat, Maverick ditawarkan dalam tiga varian iaitu XL, XLT dan Lariat. Dua varian teratas iaitu XLT dan Lariat boleh dispesifikasikan dengan pakej FX4 yang meningkatkan kebolehan off-road menerusi ciri-ciri seperti tayar ‘all terrain’, talaan suspensi, perlindungan tambahan pada bahagian bawah badan, tambahan mod Mud/Rut dan Sand serta Hill Descent Control.
Ia didatangkan dengan enjin hibrid 2.5-liter empat silinder yang mempunyai kuasa maksimum berjumlah 191hp. Enjin terbabit dipadankan dengan transmisi CVT yang menggerakkan roda hadapan, memberikannya bacaan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan berbanding Honda Civic iaitu 17km/l.
Sebagai alternatif yang lebih berkuasa, Ford turut menawarkan enjin EcoBoost 2.0-liter empat silinder dan transmisi automatik lapan kelajuan dengan kuasa mencecah 250hp dan 378Nm. Pelanggan yang memilih versi ini juga boleh mendapatkan sistem pacuan empat roda untuk menikmati prestasi cengkaman yang lebih meyakinkan dan kapasiti tunda yang lebih tinggi iaitu 1,814kg dengan tambahan pakej 4K Tow.
Di belakang, ruang kargo (digelar Flexbed) menyediakan pelbagai pilihan storan dan penyimpanan kargo, yang mana menurut Ford sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti DIY. Sebagai contoh, pemilik boleh memasukkan kayu berukuran 2X4 atau 2X6 untuk menghasilkan ruang penyimpanan bersegmen atau rak untuk basikal dan kayak.
Selain itu, tailgate boleh diturunkan dalam pelbagai posisi untuk memuatkan barang yang panjang dan ia boleh menampung berat sehingga 180 kg. Turut disertakan adalah soket kuasa 12V, pembuka botol dan ruang penyimpanan barang yang tersembunyi di dalam dinding Flexbed.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar