Antarabangsa

Ini Bukan Jeep Wrangler, Tetapi Mahindra Thar!

Erywan
19/08/2020
04:40 MYT
Sponsor Banner
Ini Bukan Jeep Wrangler, Tetapi Mahindra Thar!
Walaupun kelihatan tidak ubah seperti Jeep Wrangler, SUV off-road ini sebenarnya adalah model keluaran Mahindra yang dikenali sebagai Thar.
Menurut syarikat itu, ia menggabungkan keselesaan dan kemudahan kenderaan harian dengan kebolehan untuk pemanduan lasak.
Mahindra menawarkan dua pilihan enjin untuk Thar iaitu enjin petrol mStallion TGDi 2.0-liter dengan 150hp dan enjin diesel mHawk 2.2-liter yang mempunyai 130hp. Kedua-duanya boleh dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan atau manual enam kelajuan.
Sebagai sebuah jentera off-road yang sejati, Thar dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda lengkap dengan ‘transfer case’ dan nisbah gear merangkak (crawl) yang rendah.
Bukan itu sahaja, sudut pendekatannya lebih lebar berbanding Suzuki Jimny iaitu 41.8 darjah berbanding 37 darjah, manakala kebolehannya untuk meredah air sedalam 26 inci adalah hampir dua kali ganda jika dibandingkan dengan model keluaran Jepun itu.
Thar hanya boleh didapati dalam versi dua pintu, namun pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan bumbung jenis ‘hardtop’ atau ‘soft top’, serta konfigurasi empat atau enam tempat duduk. Apa yang menarik, versi enam tempat duduk didatangkan dengan kerusi yang menghadap ke bahagian sisi.
Dari segi kelengkapan, terdapat skrin kalis gerimis berukuran 17.8cm dengan ciri Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth. Skrin itu turut mempunyai fungsi kompas digital, penunjuk sudut ‘pitch’ dan ‘roll’, penunjuk sudut tayar, serta ciri ketersembungan jam pintar dan telefon pintar menerusi aplikasi Blue Sense.
Ciri keselamatan pula terdiri daripada dua beg udara, ABS, EBD, ESP dengan Rollover Mitigation, Hill-Hold Assist dan Hill Descent Control. Mahindra Thar akan dilancarkan pada 2 Oktober 2020. Harga masih belum diumumkan.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar