Tempatan

Mitsubishi Triton Athlete - Varian Flagship Terbaru Gantikan Triton Adventure X

Erywan
08/04/2021
02:00 MYT
Sponsor Banner
Mitsubishi Triton Athlete - Varian Flagship Terbaru Gantikan Triton Adventure X
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan trak pikap varian baharu menerusi Mitsubishi Triton Athlete untuk pasaran tempatan.
Ia adalah model ‘flagship’ atau varian tertinggi dalam keluarga trak pikap itu bagi menggantikan Triton Adventure X sebelum ini.
Triton Athlete diserlahkan dengan watak lasak yang hadir dengan tiga pilhan warna membabitkan Sun Flare Orange Pearl, White Diamond serta Jet Black Mica. Ia juga dilengkapi dengan aksesori tambahan untuk tampil ranggi.
Ia boleh dilihat pada bahagian bawah bampar hadapan hitam dan gril radiator ‘Dynamic Shield’ yang turut dipadankan warna sama. Pada masa sama, ia dilengkapi dengan pelekat bercorak berjalur pada sisi yang turut tertera nama Athlete.
Bagi melengkapkan imej sporty, kemasan hitam turut diwarnakan pada beberapa bahagian membabitkan cermin sisi, pemegang pintu, deflektor tingkap jenis aero, rim 18 inci dan pemijak kaki sisi.
Menjengah ke ruang kabinnya, Triton Athlete didatangkan dengan kemasan jingga pada roda stereng dan tombol gear, selain mempunyai kepingan pada bahagian pintu yang diterangi lampu LED. Apa yang menariknya, ia turut dilengkapi peredaran udara belakang yang mana ia menjadi pertama dalam kelasnya.
Dari segi prestasinya, ia masih menggunakan enjin 2.4 liter MIVEC turbo diesel yang menyalurkan kuasa maksimum 181PS dengan tork setinggi 430Nm dengan teknologi VVT (Vable Valve Timing).
Untuk kawalan, Triton Athlete dipadankan sistem Super Select 4WD II dengan mod off-road untuk memberi cengkaman dan pengendalian optimum pada semua permukaan jalan. Ia juga didatangkan Kawalan Menuruni Bukit yang mana kelajuannya dikawal secara elektronik, selain mempunyai radius pusingan yang baik dengan 5.9 meter.
Keselamatannya pula, Triton Athlete didatangkan dengan ciri Mitigasi Perlanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dengan Bantuan Pertukaran Lorong, Rear Cross Traffic Alert, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System, Lampu Tinggi Auto dan 7 beg udara SRS.
Ia juga dilengkapi Monitor Pemandangan Sekeliling, Rekod Video Pemanduan, skrin sesentuh tujuh inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Ready sebagai ciri standard. Harganya bermula RM141,500 untuk Semenanjung Malaysia, manakala Sabah dan Sarawak masing-masing dijual bermula RM142,500 serta RM143,550.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar