Antarabangsa

Pusingan Ketiga Toyota Gazoo Racing Festival Beraksi Di Pulau Pinang Hujung Minggu Ini

Erywan
12/02/2020
04:30 MYT
Sponsor Banner
Pusingan Ketiga Toyota Gazoo Racing Festival Beraksi Di Pulau Pinang Hujung Minggu Ini
Pulau Pinang akan menjadi medan persaingan bagi Pusingan Ketiga Toyota Gazoo Racing Festival yang bakal menyaksikan pelumba dari tiga kategori Vios Challenge lebih sengit pada hujung minggu ini.
Perlumbaan di Stadium Batu Kawan pada 15 dan 16 Februari ini adalah sangat kritikal dalam menentukan kejuaraan di dalam kategori Super Sporting, Sporting dan Promotional. Ia adalah perlumbaan terakhir yang dipertandingkan di litar jalanan sebelum acara kemuncak berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada April ini.
Dalam kelas Super Sporting untuk pelumba profesional, Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley ketika ini mendahulu dengan 36 mata, hanya berbeza lapan mata daripada pelumba Laser Motor, Mark Darwin dan diikuti oleh Kenny Lee dengan satu mata di belakang.
Dengan seramai 17 pemandu yang akan berentap, saingan di dalam kategori Sporting pula tidak kalah sengit. S&D Tama Motorsport dan wartawan automotif Tom Goh sedang mendahului ketika ini dengan 28 mata, hanya dua mata di hadapan Haji Sutan Mustaffa Salihin yang membuat penampilan sulung dalam TGR. Pendahulu bagi kategori Promotional (selebriti) ketika ini ialah pengacara dan pelawak televisyen, Nabil Ahmad yang memiliki kelebihan empat mata di hadapan juara Musim 1 Shawn Lee dengan 28 mata.
Penyanyi Khai Bahar pula menduduki tempat ketiga. Keseluruhannya terdapat 10 selebriti tempatan akan memanaskan grid termasuk Diana Danielle, Janna Nick, Shukri Yahaya, Nabila Razali, Wany Hasrita, Ain Edruce dan Syafiq Kyle.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, TGR Festival kembali lagi ke Pulau Pinang untuk musim ketiga berturut-turut dengan barisan aktiviti yang menarik untuk dihidangkan kepada pengunjung dan peminat sukan perlumbaan. "Keserononokan TGR Festival tidak hanya terhad kepada aksi-aksi di dalam litar sahaja, tetapi turut disumbangkan juga oleh banyak lagi aktiviti-aktiviti keluarga yang lain.
“Antaranya ia akan menampilkan pameran barisan kenderaan terbaru Toyota, persembahan drift, cabaran perlumbaan simulator, permainan pentas, persembahan oleh selebriti, aktiviti-aktiviti promosi, cabutan bertuah dan jualan cenderahati,” katanya. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti sihat, TGR Festival turut akan membawakan acara larian di dalam litar serta sesi zumba pada hari Ahad. Pendaftaran adalah percuma dengan cenderahati akan diagihkan bagi 500 peserta terawal.
Turut dipamerkan nanti ialah kereta GR Supra bagi perlumbaan Super GT sempena dengan Kejuaraan Super GT pusingan Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bulan Julai nanti. Tarikan lain yang turut disediakan ialah pameran sebuah model Toyota KE-10 1968 yang direstorasi selengkapnya, pameran kereta retro oleh Art of Speed serta pameran motosikal dan cenderahati Harley-Davidson, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024