Pandu Uji
Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance - Kenderaan Segmen D Buatan Jerman Dengan Harga Kurang RM200K
Selain daripada jenama Jepun, satu lagi pilihan kenderaan segmen D yang cukup sesuai untuk dimiliki lebih-lebih lagi ia adalah jenama Jerman iaitu Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance.
Dari segi harganya, ia boleh dikatakan tidak banyak berbeza dengan kereta segmen D yang dijual di negara ini. Bayangkan, anda boleh memiliki kereta segmen D jenama Eropah dengan harga RM187,990.
Passat 2.0TSI Elegance mula diperkenalkan di Malaysia pada Januari tahun ini selepas empat bulan diperkenalkan di pasaran Jerman. Kenderaan segmen sedan eksekutif itu diperkenalkan pada acara Geneva Motor Show tahun lalu yang menerima perhatian dalam segmen kenderaan keluarga/eksekutif.
Ruang Luaran Menarik
Apa yang menariknya adalah penampilannya lebih mantap dan dinamik. Gaya baharu yang ada pada bahagian hadapan dan belakang membezakan Passat sebelum ini. Ia tampak lebih macho dan bergaya eksekutif yang sesuai dengan sasaran pembelinya.
Karekter Passat diserlahkan lagi dengan lampu signatur yang direka semula, sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu isyarat membelok berturutan di hadapan dan belakang. Rekaan lampu belakang pula melengkapkan lagi penampilan keseluruhannya.
Biarpun ia sebuah sedan eksekutif, ia turut memiliki ciri sporty yang boleh dilihat pada rim aloi “Liverpool” bersaiz 18 inci serta menggunakan lencana baharu dengan perkataan “Passat” yang dilekatkan pada bahagian belakangnya.
Kabin Lebih Kemas
Menjengah di ruang dalaman, ia kelihatan kemas dan premium seperti model-model Volkswagen yang lain. Pada masa sama, ia tidak kelihatan terlalu futuristik yang kadang-kadang boleh menyakitkan mata pemiliknya.
Pada masa sama, ruang dalamannya itu dinaik taraf dengan kemasan pintu rekaan baru dan stereng multi fungsi dibalut kulit.
Stereng itu dilengkapi butang multi fungsi yang ergonomik untuk kemudahan dan ketersambungan dengan satu sentuhan butang sahaja. Jadi, penulis boleh menumpukan pemanduan sepenuhnya, tanpa perlu ‘meraba-raba’ untuk mencari butang pada konsul tengah.
Keselesaan sememangnya satu keutamaan, jadi tempat duduk Passat baharu dibalut dengan kulit lembut dan 12 talaan secara elektrik bersama sistem penyaman udara Climatronic 3-zon untuk semua penumpang. Ciri baru yang turut dipasang ialah pelindung cahaya matahari cermin belakang kuasa.
Apa yang paling menarik, ia mempunyai 30 pilihan warna lampu ambien. Bukan sahaja penulis, anak-anak pun suka dengan warna lampu ambien ini terutama pada waktu malam.
Dari keluasan but belakang, ia sangat tidak mengecewakan. Bayangkan kereta sedan segmen D ini mempunyai but seluas 586 liter memberikan cukup ruang kepada pemandu dan penumpang untuk meletak bagasi mereka.
Ketersambungan Canggih
Bagi Passat baharu ini, ia mempunyai ketersambungan pintar di hujung jari anda. Digital Cockpit bersaiz 11.7 inci baharu dan ditambah baik menawarkan kejelasan yang luar biasa.
Ia menawarkan pelbagai fungsi, selain memaparkan grafik 2D dan 3D untuk tujuan navigasi serta media. Enam pandangan skrin boleh ubah pula menawarkan aspek personalisasi ke satu tahap baru dengan lebih 30 pilihan kombinasi.
Sistem infotaimen berskrin bersaiz 9.2 inci itu kini lebih mudah dioperasi dengan kawalan suara, gestur dan skrin pandangan yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.
Ciri AppConnect tanpa wayar dengan Apple CarPlay turut ditawarkan pada Passat buat pertama kalinya di Malaysia. Ciri-ciri lain termasuklah rangkaian pilihan ketersambungan yang luas menerusi skrin paparan sentuh kapasitif, tiga port USB-C beriluminasi dan ketersambungan Bluetooth untuk penstriman audio dan peranti mudah alih.
Ternyata ciri itu memberi satu kelebihan kepada Passat ini, berbanding sebelumnya yang tidak banyak fungsi dan agak lama.
Prestasi Dan Pengendalian
Jentera ini dikuasakan enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift 7-kelajuan (DSG) baharu. Ia mampu menjana kuasa yang mengagumkan sehingga 190PS dan dan tork 320Nm.
Sepanjang beberapa hari memandunya, penulis boleh rasakan pecutan pada awal pemanduan cukup baik dan sangat responsif.
Sebaik kaki menekan pedal minyak, tindak balas awal permulaan pecutan dihasilkan daripada enjin turbo 2.0 TSI ini cukup bagus dan tidak rasa berat. Biarpun 190PS, tork yang dibekalkan sebanyak 320Nm ternyata memberi kelebihan kepada jentera ini untuk pemanduan yang menyeronokkan.
Dari segi pengendaliannya, ia masih lagi ‘sedap’ seperti model Volkswagen yang lain dan masih boleh mengawalnya di laluan berselekoh pada kelajuan tinggi. Cuma penulis rasakan sterengnya agak ringan berbanding model sebelumnya.
Suspensinya juga tidak terlalu keras dan bagi penulis ia rasa lembut yang mampu memberi keselesaan optimum kepada penumpang dan pemandu.
Ciri Keselamatan Dan Pilihan Warna
Dari segi ciri keselamatan, pakej yang ditawarkan boleh dianggap baik dalam kelasnya. Ia kini dilengkapi ciri-ciri keselamatan lain termasuklah Electronic Stability Control (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan Proactive Passenger Protection System.
Ia turut mempunyai banyak pilihan yang sesuai dengan cita rasa anda. Passat Elegance ini didatangkan enam warna dan dua kemasan. Warna metalik terdiri daripada warna biru (Aquamarine Blue), kelabu (Manganese Grey), perak (Reflex Silver) dan coklat (Tamarind Brown). Sementara warna dengan efek mutiara ialah hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) yang baru.
Kesimpulan Dan Harga
Jika mahu sebuah kereta sedan continental buatan Eropah, tetapi mahu harga yang munasabah. Volkswagen Passat 2.0TSI Elegance adalah pilihannya, ia dijual bermula RM187,990.
Must-Watch Video