Antarabangsa
Volvo Cars Melanggar Hak Asasi Manusia Untuk Selamatkan Sejuta Lagi Nyawa
Memasuki dekad baru, tahun ini Volvo Cars memperkenalkan satu lagi 'idea tidak masuk akal' untuk menyedarkan pemandu tentang bahayanya memecut. Mulai tahun 2020, semua kereta baru Volvo akan mempunyai had kelajuan 180km/j.
Sejak membuat pengumuman global pada Mac lalu, Volvo Cars sudah memulakan perbincangan sama ada pembuat kereta mempunyai hak atau kewajipan untuk memasang teknologi pada kereta yang akan mengubah tingkah laku pemandu.
Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia, Nalin Jain berkata, reaksi masyarakat kepada had kelajuan 180km/j adalah serupa, jika tidak hampir sama, dengan komen yang disuarakan pada 1973 dahulu berhubung penggunaan undang-undang tali pinggang keledar.
“Kami tahu keputusan memperkenalkan had kelajuan ini akan mencetuskan kegemparan dalam kalangan orang ramai, tetapi ada kalanya kita memerlukan seseorang untuk tampil ke hadapan dan mengambil pendirian untuk mengubah dunia.
“Bagi kami, sama ada berkontroversi atau tidak, ia lebih kepada membuat keputusan yang sukar dan tidak selesa demi menyelamatkan sejuta lagi nyawa,” katanya.
Justeru itu, Kempen Volvo Car ‘A Million More’ dimulakan dengan siri kandungan baharu yang menyorot kisah mangsa yang terselamat dalam kemalangan kereta dan peranan tali pinggang keledar dalam menyelamatkan nyawa mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila lawati volvocars.com/a-million-more, ikuti Volvo Car Malaysia di halaman Facebook di http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram http://bit.ly/VolvoMY-IG.
Sementara itu, Penasihat Teknikal Keselamatan Kanan di Volvo Cars, Jan Ivarsson berkata, semua ambil maklum tentang bahayanya ular, labah-labah dan ketinggian, tetapi keadaannya berbeza apabila membabitkan hal kelajuan.
“Dalam banyak keadaan lalu lintas, ramai yang memandu terlalu laju. Malangnya mereka tidak begitu cekap untuk menyesuaikan kadar pecutan dengan keadaan lalu lintas dan keupayaan mereka sebagai pemandu.
“Jadi, kita perlu menyokong tingkah laku yang baik dan membantu mereka,” katanya.
Laporan Status Global mengenai Keselamatan Jalan Raya 2018 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendedahkan bahawa Malaysia mempunyai kadar kematian akibat kemalangan jalan raya yang ketiga tertinggi di Asia dan ASEAN, selepas Thailand dan Vietnam.
Pada tahun 2016, sebanyak 7,152 kematian direkodkan daripada kemalangan jalan raya di Malaysia, di mana 87 peratus adalah lelaki dan 13 peratus wanita.
Must-Watch Video