Artis Korea
Agensi Nafi Bintang Start-Up, Nam Joo Hyuk Buli Rakan, Sumber Dakwa Pelakon Itu Pukul & Ambil Duit
Pelakon Nam Joo Hyuk sedang berhadapan dengan berita kurang enak apabila beberapa orang sumber mendakwa dirinya telah melakukan aksi buli yang teruk.
Joo Hyuk didakwa melakukan aksi buli tersebut sewaktu zaman persekolahan dan ia berlarutan sehingga enam tahun.
Antara aksi buli yang dilakukan oleh bintang Start-Up itu termasuklah memukul, memeras ugut duit, memaki serta hal lain yang kurang menyenangkan rakan sekolahnya.
Dakwaan itu kemudian dibuktikan dengan buku tahunan sekolah yang menunjukkan foto milik Joo Hyuk berada di dalamnya.
Sumber tersebut yang mendedahkan perlakukan buli aktor berusia 28 tahun itu kepada outlet media Korea Selatan juga mengatakan ada dalam kalangan rakan sekolah yang dibuli berterusan mengalami masalah kemurungan.
Pihak agensi Joo Hyuk, SOOP bagaimanapun menafikan dakwaan yang disifatkan telah merosakkan reputasi bintangnya itu.
Sambil mengatakan perlu mengambil sedikit masa membalas tuduhan tak berasas yang dilemparkan kepada Joo Hyuk, agensi mendakwa aktor itu dan keluarganya kini berada dalam keadaan tertekan kerana telah dipandang serong oleh masyarakat.
“Setelah melakukan pengesahan dengan Joo Hyuk, semua dakwaan yang dilemparkan adalah fitnah dan tidak berasas.
“Buat masa ini Joo Hyuk dan keluarganya yang sedang melalui episod tak enak kerana terpaksa melalui semua dakwaan palsu ini,” kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan agensi seperti dilaporkan Soompi.
Dalam masa sama, SOOP juga mengatakan akan mengambil tindakan sewajarnya seperti tindakan undang undang kepada penyebar fitnah.