Dapat Sambut Jambangan Bunga BinJin Couple, Sekali Memang Betul! Gong Hyo Jin Umum Kahwin
Pelakon terkenal Korea, Gong Hyo Jin akhirnya bakal menamatkan zaman bujang bersama kekasih hatinya, penyanyi Kevin Oh.
Berita gembira itu dimaklumkan oleh agensi pengurusan Hyo Jin dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.
“Hello, ini pihak pengurusan SOOP. Kami ingin berkongsi berita gembira tentang aktres Gong Hyo Jin yang akan memulakan fasa baharu dalam kehidupannya bersama dengan Kevin Oh.
“Mereka akan mengadakan majlis perkahwinan secara tertutup pada Oktober ini, hanya ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat saja yang dijemput.
“Kami harap peminat faham situasi mereka yang tidak dapat mengumumkan tarikh dan lokasi majlis perkahwinan pasangan tersebut secara terperinci.
“Hyo Jin dan Kevin mohon restu dan sokongan daripada peminat untuk mereka memulakan kehidupan baharu. Terima kasih,” kenyataan daripada pihak pengurusan Hyo Jin.
Pasangan ini juga mempunyai perbezaan umur sebanyak 10 tahun. Hyo Jin berusia 42 tahun manakala Kevin pula 32 tahun.
Hyo Jin dan Kevin yang mula menjalin hubungan cinta April tahun ini bakal mengadakan majlis perkahwinan di New York.
Menariknya lagi, Hyo Jin sebelum ini berjaya menyambut jambangan bunga yang dibaling oleh Son Ye Jin sewaktu majlis perkahwinannya bersama Hyun Bin pada Mac lalu dan menjadi perbualan hangat peminat.
Ini kerana ada mitos yang mengatakan jika seseorang berjaya menyambut jambangan bunga dibaling pengantin bermakna tiba giliran si penyambut itu pula yang bakal berkahwin.
Terdahulu, Hyo Jin banyak membintangi drama hit antaranya Pasta, The Greatest Love, It’s Okay, That’s Love, The Producers, Don’t Dare To Dream, Jealousy Incarnate dan When The Camellia Blooms.
Sementara Kevin pula merupakan pemenang untuk program Superstar K musim ketujuh dan menyertai program realiti Super Band.