#GimmeTheMicMY: Ikut Cara Sharifah Aini Rahsia Tiga Protege Shiha Kekal On The Top - "Arwah Tak Ada Cubit, Kerlingan Mata Pun Dah ..."
Tegas Bukan Garang
Menurut Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, 36, bagaimanapun berkata, ketegasannya itu sudah menjadi kebiasaan lebih-lebih lagi ketika menjadi anak didik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dalam sebuah program reality nyanyian.
“Itulah diri saya, saya mungkin dah terbiasa diajar begitu. Dulu saya diajar dengan ketegasan dan disiplin untuk buat yang terbaik supaya kita tak terleka.
“Mungkin ada yang berpendapat mereka masih baharu, tak perlu keras sangat. Pada saya, lain. Saya cakap pada mereka ini adalah ruang untuk mereka buat dengan betul.
“Saya tahu mereka tertekan tapi ini semua untuk kebaikan mereka. Itulah yang arwah Datuk Sharifah Aini ajar pada saya dulu. Arwah tiada rasa nak cubit atau apa tetapi dia tengok dengan mata saja pun dah cukup buat saya cuak.
“Garang ke tak tu, saya boleh cakap saya tegas sebab kadang-kadang saya tak perasan perkara itu sebab saya memang begitu,” katanya kepada Gempak.
Fokus Dan Bersedia
Pelantun lagu Kalam itu turut berkata, dia mahu anak didiknya tu sentiasa fokus dan meletakkan diri mereka dalam posisi bersedia.
“Ketika saya kongsi ilmu pada mereka, saya mahu mereka serius. Kalau menguap saja sekali, balik. Saya tak mahu orang yang tak fokus.
“Kalau tak fokus, balik rehat. Jika datang latihan dan nampak penat, saya cakap jangan buang masa, pergi balik dan tidur.
“Dalam hati saya tiada niat lain melainkan saya nak mereka lebih bersedia dan selesa,” ujarnya.
Ujar Shiha lagi, dia berbuat demikian kerana mahu melihat mereka mempamerkan bakat terbaik serta berjaya sebagai insan seni
“Saya buat semua ini untuk mereka, supaya mereka lebih selesa. Saya buat ini tak ambil satu sen pun, apa yang saya nak mereka buat yang terbaik atas pentas.
“Itu sahaja yang saya minta, saya sayang mereka macam adik-adik saya dan bakat-bakat mereka.
“Niat saya cuma satu saja iaitu saya nak ada pelapis baharu dalam Malaysia yang dah bersedia sepenuhnya,” tutupnya.
Untuk info, pada minggu kedua Gimme The Mic Malaysia, ketiga-tiga anak didik Shiha iaitu Raes, Hazreen Amreena dan Junlloyd Egano antara mendapat markah tertinggi dari juri sekali gus menghuni kerusi The Six.