Highlights

12 Beradik Kekal Sepakat Walau Tanpa Mak Ayah – Pesan Arwah; Elakkan Dengki, Saling Hormat, Jangan Tinggal Solat, Selalulah Berkumpul…

Huda Hussain
19/12/2019
08:16 MYT
Sponsor Banner
12 Beradik Kekal Sepakat Walau Tanpa Mak Ayah – Pesan Arwah; Elakkan Dengki, Saling Hormat, Jangan Tinggal Solat, Selalulah Berkumpul…
Jarang sekali kita dengar bagaimana adik-beradik terutamanya yang ramai masih kekal utuh, akrab hubungan mereka selepas pemergian kedua ayahanda dan bonda ke negeri abadi. Jika ada pun, mungkin tidak banyak. Kerana secara logiknya, masing-masing akan membawa haluan sendiri, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga.
Dan jika mahu berkumpul sekalipun, hanya ketika musim perayaan atau jika ada agenda tertentu sahaja. Berlainan dengan keluarga ini. Dua belas adik-beradik kesemuanya tetapi akrab dan rapatnya sesama mereka membuatkan penulis berasa kagum dan hormat dengan asas didikan yang sudah tertanam dalam diri mereka sejak kecil lagi. Semoga bingkisan kisah keluarga Allahyarham Maimunah Mat Dohon dan Abu Bakar Shafie dijadikan tauladan dan ikutan kita semua yang masih punya emak dan ayah.
Kredit Foto: Anisah Abu Bakar
Kongsikan bersama InTrend, sejak bila kedua-dua Allahyarham ayah dan emak meninggal dunia? Arwah emak, Maimunah Mat Dohon meninggal dunia tanggal 7 Mei 1990 akibat serangan penyakit jantung. Manakala arwah ayah pula, Abu Bakar Shafie meninggal dunia setahun setengah selepas itu, pada 21 Disember 1991 kerana penyakit kanser paru-paru.
Kredit Foto: Anisah Abu Bakar
Ketika itu adik-beradik dalam lingkungan usia berapa? Ada yang sudah bekerja atau melanjutkan pelajaran? Kami mempunyai 12 orang adik-beradik. Enam lelaki dan enam perempuan. Arwah ayah dan mak memberi nama kami semua bermula dengan huruf A dan satu perkataan sahaja agar senang di panggil dan duduk di depan dalam dewan peperiksaan. Bermula dengan Azizah, Alias, Arif, Abdul Kadir (arwah tok wan yang beri nama) Aziz, Azli, Aziah, Azlina, Anisah, Azlinda, Azman dan Aida.
Semasa emak meninggal dunia adik bongsu baharu berusia 11 tahun dan adik lelaki bongsu, Azman berumur 13 tahun manakala Azlinda 15 tahun. Waktu mak meninggal, adik (Azlinda) baru sahaja menduduki peperiksaan percubaan SRP. Dan ketika itu, lima orang adik-beradik sudah berkahwin manakala tujuh orang lagi belum berkahwin. Walaupun ada yang masih belajar tapi hampir semua adik-beradik sudah bekerja.
Yang sedihnya, ketika emak meninggal jenuh juga nak pujuk adik-adik yang kecil sebab mereka asyik menangis terutama yang bongsu. Hinggakan tak boleh tidur asyik mimpikan emak apatah lagi emak pergi mengejut, meninggal dunia dalam tidur. Adik bongsu yang paling trauma kerana dia yang kejutkan emak tapi emak tak bangun-bangun juga.
Kongsikan susah-payah dan pahit getir hidup seramai 12 adik-beradik tanpa emak dan ayah? Adakah pernah ibu atau pakcik saudara mahu mengambil sesiapa dalam kalangan kalian untuk dibela? Waktu emak dan ayah meninggal dunia, adik-adik dibela oleh kakak ipar walaupun kakak ipar bekerja. Syukur juga sebab masing-masing pandai berdikari. Kami sepakat tidak akan menyerahkan adik-adik kepada orang lain. Setiap daripada kami (yang sudah bekerja waktu itu) memberi wang belanja untuk perbelanjaan pembelajaran adik-adik hinggalah mereka berjaya ke universiti. Sebenarnya abang-abang dan kakak-kakak mendapat keputusan SPM yang baik tapi disebabkan arwah ayah cuma bekerja sebagai pengawal keselamatan dan arwah mak tidak bekerja, maka mereka terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Kredit Foto: Anisah Abu Bakar
Lazimnya kalau sudah punya ramai adik-beradik ini pasti ada yang berselisih faham, tak bertegur sapa kerana sesuatu isu, berpuak-puak dan sebagainya. Kalian pula bagaimana? Tidak pernah ada perselisihan faham kerana kami saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Masih mengamalkan budaya panggilan abang chak, abang cik, kakak long, kak cik dan sebagainya. Tidak timbul isu berpuak-puak kerana kami mengamalkan prinsip tiada perasaan iri hati antara satu sama lain. Kerana kesenangan kami berpunca daripada abang-abang dan kakak-kakak yang banyak membantu membesarkan kami semua.
Kredit Foto: Anisah Abu Bakar
Sejauh mana adik-beradik dan ipar-duai memainkan peranan dalam mengeratkan hubungan sesama kalian? Abang yang kedua dan isterinya (kakak ipar sulung) yang paling banyak main peranan dalam membentuk sahsiah adik-adik kerana mereka tinggal bersama. Disebabkan mereka tinggal di rumah pusaka, makanya hubungan adik-beradik tidak putus kerana kami masih pulang ke rumah tersebut. Mereka berdua menggalas tempat arwah ayah dan emak. Mereka berdua yang mengadakan perkahwinan adik-adik di rumah tersebut. Semua perkara akan dibincang bersama dan begitu juga kutipan wang untuk setiap majlis contohnya seperti tahlil dan sebagainya.
Kredit Foto: Anisah Abu Bakar
Agenda wajib dalam majlis pertemuan keluarga sepanjang tahun? Agenda wajib bagi kelaurga kami (famili Ashburn) adalah setiap kali raya kedua Aidil Fitri, kami akan mengadakan malam barbeque. Kami akan mengadakan kutipan bagi setiap keluarga. Contoh satu keluarga RM200 dan anak-anak saudara yang telah bekerja menyumbang sebanyak RM50. Waktu beginilah semua akan berkumpul dan akan masak bersama. Antara menu wajib pula seperti sate, nasi goreng, cucur udang, ayam goreng tepung dan lain-lain. Kami buat semuanya bersama dari mula hingga akhir. Kemuncaknya pada malam itu adalah pemberian duit raya. Terdapat banyak stesen sebabnya ramai yang bekerja. Prinsip keluarga ini selagi sesiapa tidak bekerja akan mendapat duit raya.
Kredit Foto: Anisah Abu Bakar
Selain itu, kami akan mengadakan percutian keluarga setiap hujung tahun. Selalunya di Pulau Pangkor kerana terdapat kemudahan asas seperti kolam mandi dan akses terus ke laut. Ini memudahkan untuk kami lakukan aktiviti sukaneka. Dan seperti biasa, kami akan masak beramai-ramai. Setiap keluarga diwajibkan membawa satu menu dan nasi serta tiga hadiah untuk sukaneka. Jika ada majlis perkahwinan dalam keluarga, kami akan memberi hadiah kepada pengantin. Setiap ahli keluarga yang telah bekerja wajib memberi hadiah. Menariknya, secara senyap-senyap kami akan maklumkan hadiah apa yang dibeli tanpa pengetahuan pengantin bagi mengelakkan pemberian hadiah yang sama.
Didikan dan pesanan Allahyarham emak dan ayah yang masih dipegang dan diamalkan hingga hari ini? Arwah ayah dan emak menitikberatkan tentang agama. Kami mesti khatam Al-Quran sebelum berumur 12 tahun. Solat memang tidak boleh tinggal. Arwah emak dan ayah sangat garang, dan tiada perkataan kasar yang pernah keluar dari mulut kami. Jika terluah juga akan dicilikan sehingga bengkak mulut. Begitu juga dengan melawan atau bergaduh sesama adik-beradik. Kami akan dipukul dengan kulit kayu balak kerana waktu itu rumah kami berdekatan dengan kilang kayu. Kulit kayu balak itu juga arwah ayah ambil untuk dijadikan kayu api.
Pesanan dari arwah emak pula, khususnya untuk anak-anak perempuan; kami tidak boleh berkahwin selagi tidak bekerja. Kerana arwah emak tidak mahu jika berlaku berlaku penceraian atau kematian, anak-anak perempuannya ditimpa kesusahan, hidup merempat dan sebagainya. Arwah emak mahu anak-anak perempuannya boleh membeli barangan yang disukai tanpa perlu meminta-minta atau memujuk rayu daripada suami.
Kredit Foto: Anisah Abu Bakar
Kunci hubungan dan ikatan sesama kalian? Saling hormat menghormati dan jangan pernah ada perasaan iri hati antara satu sama lain. Ini semua pinjaman sahaja daripada Allah SWT.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar