Highlights

“Dia Tak Apalah… Dia Lainlah… Dia Bolehlah…” – Kalau Ada Stigma Ini, Sampai Bilapun Takkan Pernah Rasa Cukup.

Huda Hussain
24/11/2020
09:39 MYT
Sponsor Banner
“Dia Tak Apalah… Dia Lainlah… Dia Bolehlah…” – Kalau Ada Stigma Ini, Sampai Bilapun Takkan Pernah Rasa Cukup.
Kehidupan yang kita lalui hari ini memang jauh bezanya dengan zaman dahulu. Kalau sebelum ini kita membayangkan mampu hidup selesa, cukup makan dan pakai, tak mewah mana tetapi tak perlu bercatu-catu. Namun hakikatnya tidak semua merasainya. Lihat sahaja ujian pandemik Covid-19 tatkala membadai negara kita hampir sembilan bulan lamanya. Barulah kita dengar dan tahu rupanya dalam pada kita asyik menonton televisyen, teruja mencuba resipi baru, galak memesan makanan viral ada dalam kalangan kita terpaksa memberi anak kecil minum air gula dek kerana tak mampu membeli susu. Semuanya gara-gara terputus bekalan makanan dan lebih memilukan apabila ada yang terpaksa diberhentikan kerja.
Sungguh, bukan mudah menjalani kehidupan pasca pandemik ini. Diuji hebat dari kini dan kanan. Ada yang mahu menolong tetapi tersepit dengan kesempitan hidup sendiri. Itu belum dikira mereka yang masih gah berdiri, tegap berjalan dan laju berlari walaupun mengeluh bisnes berskala mega tidak segah dahulu. Sekali-sekala tolehlah ke belakang dan buka mata seketika untuk melihat segala permasalahan dari kaca mata seekor burung. Bukan hanya dengan mata kasar lantas pintu hati tertutup rapat.
Kredit Foto: Google
Ramai yang hidup melarat, susah dan kita sedia maklum tentang hal itu. Daripada kisah penghantar makanan, si bapa yang hanya mampu membeli tujuh keping lampin pakai buang untuk kegunaan anak yang baru dilahirkan malah bermacam genre cerita yang kita baca di media sosial. Tidakkah terbit rasa insaf atau munculnya perasaan syukur dengan apa yang kita ada hari ini?
Masih Ada Yang Mengeluh Dan Merungut Walaupun masih punya gaji yang diterima setiap hujung bulan, tetapi ada lagi yang belum benar-benar memahami konsep syukur. Masih lagi galak berkongsi gaya hidup di media sosial tentang keterujaan membeli-belah item baru atau viral. Tidak serik menunjukkan apa yang dibeli walaupun ada yang makan hati atau gigit jari melihatnya.
Dan bagi mereka yang menyaksikannya pula, terus-terusan berkata; “Dia tak apalah, ada suami kaya. Boleh minta macam-macam. Kita ni belum buka mulut lagi, suami dah minta pinjam dulu. Macam mana tu?” Ditokok tambah pula dengan sindiran berbaur rasa tidak puas hati seperti ini. “Dia lainlah, mak ayah banyak duit. Makan pakai pun mak ayah tanggung lagi. Siap bagi duit poket. Kita ni, berkira-kira bajet bulanan lepas ke tak kalau nak tunggu gaji hujung bulan.” Ataupun ada pula yang bersuara, “Aku bukan tak bersyukur tapi tak cukup sebenarnya. Tahu ajelah harga barang sekarang. Belanja RM200 tu untuk barang basah aje. Belum lagi kira barang-barang lain. Dah habis jimat aku buat kira-kira.”
Kredit Foto: Google
Jangan Lupa Kepada Pemberi Rezeki Rezeki masing-masing semuanya sudah ditentukan oleh Allah. Cuma apa yang membezakan antara kita adalah sifat syukur dan rasa cukup dengan apa yang ada. Kerana kalau dikira, semua yang kita rasa dan peroleh hari ini adalah pemberian daripada-Nya. Seperkara lagi, apa yang memberkati sesuatu rezeki itu adalah cara kita menilainya. Pernahkah kita bersedekah walaupun hanya mampu dengan sejumlah kecil saja? Ada atau tidak kita hulurkan kepada emak ayah dikampung? Atau adakah kita berkira rezeki yang ada dengan pasangan atau anak-anak mahupun ahli keluarga kita?
Sudah cukupkah kita berusaha untuk mencukupkan rezeki itu? Atau hanya duduk diam, merungut dan terus mengeluh asyik tak cukup sahaja? Allahu Rabbi… Inilah sifat yang ada dalam diri tanpa kita sedari. Kalaulah mentaliti kita asyik dimomokkan dengan stigma seperti pernyataan diatas, percayalah sampai bila sekalipun kita takkan pernah rasa cukup dengan apa yang ada. Kita takkan pernah tahu dan memahami betapa pentingnya perlu bersyukur.
Kredit Foto: Google
Hidup Ini Bukan Tentang Soal Perbandingan Semata-Mata Ketahuilah, hakikat kehidupan adalah untuk beribadat, menuai pahala, melakukan kebaikan dan kembalikan semula apa yang kita miliki dengan cara penuh tawaduk kepada-Nya. Bukannya berlumba-lumba mahu lihat siapa yang beli rumah lebih besar, berapa deret kereta mewah yang ada, beg tangan jenama apa yang dipakai, duit simpanan yang banyak atau pendek kata berunsurkan material semata-mata.
Lebih banyak kita bersyukur, semakin kita dituntut untuk tunduk dan sujud kepada-Nya. Sematkan rasa rendah diri dan perlu ada dorongan untuk membantu mereka yang memerlukan mengikut kapasiti kemampuan masing-masing. Usah terlalu bangga dengan apa yang digenggam hari ini. Tunjuk dan tayang kepada semua anda mampu membeli itu dan ini. Sifat dan sikap ujub, riak seperti itulah yang perlu dijauhi. Jadilah seperti resmi padi, semakin berisi semakin menunduk.
Belum terlewat lagi untuk memperbetulkan apa yang terakam dalam hati dan minda anda. Selagi ada masa, perbaiki dan berubahlah. Buang jauh-jauh sifat dengki, iri hati dan tidak puas hati. Lihat ke dalam diri, sekurang-kurangnya anda masih punya tempat untuk berteduh, makanan untuk disuap ke mulut anak dan insan sekeliling untuk menumpang kasih dan bermanja. Hargai pinjaman itu semua. Kelak jangan lupa dengan janji-Nya kerana sampai masa semua pinjamakan itu akan dikembalikan semula kepada pemilik-Nya. Semoga bermanfaat.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar