Highlights

Saat Semua Terlalu Rindu Dan Mahu Ke Sini, Mereka Yang Direzekikan Mengecap Nikmat Beribadah Dengan Mudah.

Huda Hussain
16/04/2020
15:43 MYT
Sponsor Banner
Saat Semua Terlalu Rindu Dan Mahu Ke Sini, Mereka Yang Direzekikan Mengecap Nikmat Beribadah Dengan Mudah.
Sejujurnya penulis belum pernah menjejakkan kaki ke tanah suci. Namun daripada cerita-cerita yang dikongsi ahli keluarga, saudara-mara dan teman-teman serasanya dekat sahaja jiwa ini dengan tanah haram ini.
Kredit Foto: Google
Dan tatkala melihat foto-foto dan video yang tular sekitar Mac lalu dengan pemandangan ruang Masjidil Haram yang dikosongkan benar-benar menjentik hati semua. Ia ditutup ekoran proses pembersihan sebagai langkah memerangi penularan wabak Covid-19. Hinggakan selepas itu, kerajaan Arab Saudi tidak lagi membenarkan ibadah umrah dijalankan.
Tiada lagi suasana bersesak-sesak dilihat ketika ribuan jemaah mengelilingi kaabah untuk ibadah tawaf. Sunyi sepi semuanya. Bagaikan padang jarak padang terkukur. Malah ada yang menitiskan air mata melihat pemandangan ini. Walaupun hanya diskrin telefon, tetapi ia tetap mengusik rasa dan emosi khususnya bagi sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke tanah suci ini.
Kredit Foto: Google
Itulah kuasa Allah. Bila mana hartawan dan jutawan yang kaya, banyak harta sekalipun tidak boleh masuk ke Masjidil Haram. Waima sesiapa yang punya pangkat tinggi pun tidak mampu untuk ke sana. Hanya kelibat petugas pembersihan yang menyarung baju biru muda sahaja kelihatan. Membersihkan ruang tawaf, melakukan proses disinfeksi dan sebagainya. Hanya mereka yang Allah angkat darjatnya diberi peluang dan ruang dengan mudah melakukan ibadah tawaf dan solat sunat tanpa perlu bersesak-sesak dengan jemaah lain. Tidak perlu bertolak-tolak, berebut-rebut. Mereka bisa melakukan ibadah seperti tawaf dan solat sunat dengan suasana yang tenang dan jauh lebih mudah.
Allahu Akbar, betapa mudahnya Allah bolak-balikkan darjat manusia dihadapan-Nya dengan hanya sekelip mata, sekejap sahaja. Walau harta seseorang itu tinggi menggunung sekalipun ketika ini, tidak menjadikannya memiliki kuasa dimata Allah. Tiada apa yang mampu dilakukan. Tetapi natijahnya, di sana ada sekumpulan petugas yang mungkin dahulunya kita anggap mereka biasa-biasa sahaja, tetapi hari ini mereka diberi kelebihan istimewa berbanding hartawan dan jutawan.
Betapa saat ini hati kita menjerit-jerit mahu sujud dan berdoa di tanah suci ini tatkala diuji dengan musibah Covid-19, mereka yang Allah pilih dan diangkat darjat sebegitu rupa. Allahu Rabbi. Sungguh rezeki-Mu hanya diberi kepada mereka yang benar-benar terpilih. Sungguh, kita cemburu dengan mereka bukan? Adakah kita masih mahu mendabik dada dengan harta dan pangkat yang kononnya milik kita ketika ini? Dan disebalik semua itu, Allah hadirkan ujian ini untuk runtuhkan keangkuhan kita. Keegoaan kita. Kerana sesungguhnya kita terlalu kerdil dihadapan Allah Maha Pencipta.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar