gaya hidup

“Saya Dapat Rasai Apa Itu Sakaratul Maut. Saya Mohon Allah Pinjamkan Nyawa, Nak Bangun Untuk…” Dean Daud

Huda Hussain
18/09/2021
03:51 MYT
Sponsor Banner
“Saya Dapat Rasai Apa Itu Sakaratul Maut. Saya Mohon Allah Pinjamkan Nyawa, Nak Bangun Untuk…” Dean Daud
Dean Daud, salah seorang pereka hiasan dalaman yang tidak asing di skrin televisyen baru-baru ini sudi berkongsi secebis kisah dan pengalamannya menempuh pandemik Covid-19. Allahu, tak terbayang bagaimana dirinya yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan sebelum itu kemudiannya didapati positif Covid-19. Bersama InTrend, Dean imbas semula momen yang pastinya terpahat segar dalam memori sepanjang hayatnya.
Kredit Foto: Dean Daud
Ceritakan pengalaman sebelum disahkan positif Covid-19, masih tunggu giliran untuk divaksin atau macam mana? Saya lengkap divaksinasi dua dos pada 17 Jun 2021 dan syukur saya antara penerima awal vaksin. Sejujurnya saya memang sangat menjaga SOP dan hanya pastikan kurang berada di luar rumah sejak PKP pertama lagi. Untuk makluman, saya hanya mula bekerja pada PKP 3.0 sebabnya saya tinggal dengan emak. Maklum sajalah warga emas, dia sangat fragile dan saya ambil pendekatan kawal diri sebaiknya sebab takut membahayakan keluarga.
Cuma takdir Allah, nasib saya kurang baik. Pada 14 Ogos 2021, saya menjalani pembedahan gastrik dan masalah dalaman perut. Hasil swab test pertama saya untuk kemasukan wad adalah negatif. Kawan yang sepatutnya menjaga saya ketika di hospital pula didapati positif. Dan kemudian saya disahkan positif Covid pada 16 Ogos iaitu dua hari selepas pembedahan.
Kredit Foto: Dean Daud
Allahu, bayangkan saja dalam keadaan imun dan antibodi badan yang sangat lemah, saya kena melawan virus Covid. Lebih cemas pada hari keempat, saya mengalami pendarahan teruk dan dimasukkan ke wad 5e-Covid HUKM. Saya dirawat sebagai pesakit Covid dan pesakit selepas operation. Rawatan sangat contradict sebab doktor terpaksa mengambil jalan tengah untuk merawat dua keadaan kesihatan saya yang bercanggah. Sehinggalah pada hari ke-12, Allahu Akbar… Saya betul-betul berselisih ajal. Malam 27 Ogos keadaan saya kritikal, oksigen dalam darah saya berada pada tahap 56% sahaja. Dan Subuh 28 Ogos pula, saya benar-benar berselisih ajal. Saya dimasukkan ke ICU untuk menjalani proses intubasi dilakukan. Tetapi saya percaya keajaiban hasil doa keluarga dan kawan-kawan. Allah gerakkan hati doktor yang sepatutnya melakukan intubated utk meniarapkan kedudukan saya (prone) dan paru-paru saya berfungsi pada 97% oksigen. Untuk itu, doktor membatalkan proses intubasi.
Ada ahli keluarga mahupun saudara-mara yang turut positif Covid-19? Alhamdulillah tiada, cuma saya seorang sahaja.
Bagaimana pula dengan keluarga ketika Dean berhadapan dengan saat sukar ini? Mereka amat sedih malah tak dapat tidur nyenyak hampir setiap malam selama 22 hari saya di hospital. Setiap Subuh ada sahaja panggilan dari doktor mereka terima. Tapi jujurnya saya betul-betul ingin menzahirkan rasa terhutang nyawa dan budi kepada seluruh warga kerja HUKM baik yang bertugas di wad 5e juga di Unit Rawatan Rapi. Mereka bertungkus-lumus memastikan saya dan pesakit lain dapat meneruskan hidup dan selamat mengharungi Covid.
{^media|(width)300|(height)200|(autoplay)True|(ext).mp4|(url)https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/intrend/telegram_video_3.mp4^}
Kredit Foto: Dean Daud
Antara pengalaman paling tak dapat dilupakan ketika berada di ICU yang masih segar dalam ingatan saya adalah pesakit di katil kiri dan kanan saya meninggal dunia ketika diintubasi. Saya dapat dengar dengan jelas tangisan ahli keluarga masing-masing minta halalkan air susu. Tangisan keluarga ketika panggilan terakhir sebelum kematian cukup menginsafkan saya. Allahu Akbar…
Kalau sebelum ini hanya terbaca kisah-kisah orang lain. Dan waktu Dean lalui sendiri, bagaimana tempuh kesakitan dan cabaran waktu tu? Apa yang tergambar dalam fikiran? Allahu… Saya dapat rasai apa itu sakaratul maut. Seperti apa yang diajarkan oleh guru agama amat menginsafkan ketika saya mengalami dan berhadapan waktu itu. Satu perkara yang saya ingat, saya memohon Allah pinjamkan nyawa. Saya berkata pada Allah, saya perlu bangun untuk meminta maaf pada semua kawan-kawan dan saudara-mara yang mana pernah saya lukai. Dan Allah beri saya peluang kedua. Inilah nyawa pinjaman daripada-Nya. Sungguh…
Kredit Foto: Dean Daud
Dan mengenai gambaran sakitnya Covid ini umpama mengambil beg plastik dan masukkan kepala lalu ikat dileher kemudian baring dilantai dan bernafas. Allahu Akbar, seolah-olah lemas dan tak boleh buat apa-apa. Namun kebanyakkan gambaran tentang Covid yang mereka sifatkan sebagai ringan apabila melihat pesakit yang menari di Maeps itu memberi tanggapan kepada masyarakat bahawa Covid tidaklah terlalu membahayakan. Ya, mungkin itu pesakit tahap 1 atau 2.
Tetapi pada saya kita harus memberitahu keadaan Covid sebenar. Mungkin kebanyakkan mereka yang mengalami Covid tahap 4 ke atas tak mampu bertahan lalu tak berkesempatan nak kongsi pengalaman kerana ramai yang telah pergi meninggalkan dunia, innalillahi wainnailahirajiun...
{^media|(width)300|(height)200|(ext).mp4|(url)https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/intrend/telegram_video_2.mp4^}
Kredit Foto: Dean Daud
Diberi peluang sembuh dan pulih daripada wabak ini, apa yang Dean rasakan dan mahu kongsikan? Sungguh, saya malu dengan Allah. Saya tak terdaya nak minta apa lagi dengan Allah. Meminjam nyawa daripada-Nya membuatkan saya berfikir untuk memanfaatkan hidup ini ke jalan yang diredai. Semoga sisa hidup saya ini memberi manfaat juga pada ramai orang. Apa yang saya nak buat adalah menguar-uarkan kepada semua bahawa Covid ini betul-betul menguji keluarga, kawan-kawan dan kehidupan kita. Semuanya boleh berubah dalam sekelip mata.
Kredit Foto: Dean Daud
Ada ambil ubat atau suplemen tambahan sekarang? Pihak HUKM menyediakan khidmat rehab programme selama tiga bulan kepada post covid patient. Dan saya juga ada mengambil ubat-ubatan untuk menguatkan paru-paru. Selain itu, saya juga bersenam dan amalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Simptom post Covid pula macam mana, ada atau tak perubahan ketara yang Dean rasai? Keadaan pesakit Covid memang lemah. Jujurnya saya masih memerlukan bantuan oksigen yang disediakan oleh keluarga. Mereka menghadiahkan tangki oksigen kepada saya dan saya ambil oksigen hanya kalau saya banyak lakukan kerja-kerja berat. Selain itu hidung saya kerap berdarah. Simptom lain susah berjalan dan menjadi pelupa.
Kredit Foto: Dean Daud
Apa yang mungkin buatkan Dean rasa fobia, trauma kalau ada apa-apa yang berkaitan dengan Covid-19? Segala-galanya tentang Covid bukan sahaja mendatangkan trauma kepada saya, tetapi kepada keluarga. Lebih-lebih lagi mereka sempat menyaksikan saat saya nazak ketika panggilan terakhir sebelum intubasi. Cukup beremosi dan takkan mampu kami lupakan.
Pengajaran paling bermakna daripada apa yang dilalui sepanjang Allah duga dengan ujian ini? Hargai nyawa, sayangi keluarga. Dalam keadaan apa pun, keluarga adalah institusi yang menyokong kita dari segi mental dan fizikal. Merekalah segalanya.
Apa yang membuatkan Dean lebih menghargai erti kehidupan selepas sembuh daripada Covid-19? Ketika saatnya pernah kehilangan nyawa. Dan pada saya nyawa adalah rezeki dan pemberian-Nya yang paling kita hargai.
Kredit Foto: Dean Daud
Harapan Dean kepada semua yang membaca kisah ini? Saya berharap ramai yang sedar dan tahu bahawa Covid is real dan amat memedihkan. Selain itu saya ingin menguar-uarkan pengalaman saya ketika dirawat di HUKM. Pihak HUKM sangar dedikasi dalam merawat pesakit Covid. Teknologi dan data yang dikumpulkan amat membantu negara dalam memahami apa erti dan cara merawat Covid. Dan untuk itu, kita haruslah sama-sama membantu frontliner kita. Usah menambah beban mereka dengan bilangan pesakit yang kian meningkat. Hati-hati dan sayangi nyawa anda. Hargai masa, nyawa dan kesihatan yang Allah beri ini. Percayalah, selain pinjaman semua itu sekejap sahaja dapat kita nikmatinya. Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar