Hiburan
Selepas Buka Salun Khas Untuk Lelaki dan Wanita, FIKRY IBRAHIM Mahu Terus Cari ‘SESUATU’ Yang Lebih Baik…
Tidak mahu bersandarkan rupa paras, baginya bakat mengatasi segalanya. Diberi kepercayaan menggalas watak penting mahupun teraju utama dalam beberapa drama bersiri juga telemovie antaranya Rindu Yang Terlarang, Cik Reen Encik Ngokngek, Tebus dan banyak lagi; Fikry kini lebih matang. Malah tidak keterlaluan dikatakan mutu lakonannya banyak memperlihatkan perkembangan dan perubahan positif. InTrend imbas kembali temu bual bersama Fikry Ibrahim menerusi ruangan Khas Gaya Hidup edisi Februari 2018.
Kredit Foto: IG Fikry Ibrahim
Semakin ‘laku’ nampaknya tuah dan rezeki Fikry. Namun dalam tiga karier (pelakon, pelawak dan pengacara) mana lebih memberi kepuasan dan keseronokan kepada Fikry?
Pada saya, ketiga-tiganya saya ‘enjoy’. Namun melihat kepada kebanjiran pelawak masa kini, ada juga cabarannya. Terutamanya jika pelawak bergandingan sebagai hos. Pada saya unsur komedi boleh dimuatkan dalam pengacaraan selain ia memberi ruang untuk saya menjadi diri sendiri, menghiburkan dan mengawal penonton. Untuk diselitkan dalam drama pula bergantung kepada watak dan kesesuaiannya. Manakala lakonan pula pada saya, apabila kita mampu membuatkan penonton tidak menyedari bahawa ia adalah lakonan dan bukan dibuat-buat itulah sebenarnya kepuasan ketika berlakon. Dan melawak pula, kepuasan dan keseronokannya adalah apabila penonton ketawa dan terhibur. Jika mahu dibandingkan tahap kesukaran antara ketiga-tiga cabang ini, saya fikir melawak paling sukar dan mencabar. Terutamanya dalam skop mencari danmenulis material, tekanannya tetap ada.
Dari mana Fikry belajar dan mendapatkan asas dalam ketiga-tiga cabang seni ini?
Saya belajar dari bawah dan mendapatkan pengetahuan asas. Misalnya untuk melawak, saya pergi menghadiri uji bakat untuk menyertai Lawak Solo dahulu. Dan belum apa-apa lagi saya sudah melakukan kesalahan dari kaca mata juri yang mengadili. Kata mereka jenaka saya diciplak daripada pelawak lain. Dalam hati terdetik juga rasa marah dan tidak puas hati kerana saya sudah membuat persediaan awal selain melakukan homework. Apabila terpilih sebagai peserta, saya belajar dengan pelawak-pelawak senior untuk terus memperbaiki dan meningkatkan ilmu. Berlakon pula, ketika hari pertama tiba di lokasi untuk sesi penggambaran (Hero Seorang Cinderella); saya hampir dibuang. Masakan tidak, saya hanya diberi skrip pada malam (sebelum keesokan hari sesi penggambaran). Tambahan pula saya menyampaikan dialog dalam loghat Kedah, memang kena marahlah, hahaha… Saya akui kesilapan itu dan selepas ditegur, saya sahut cabaran dan lakukan homework sendiri. Tiga jam saya tidak tidur untuk tonton YouTube dan pelajari serba-sedikit bagaimana menyebut dan membalas semula dialog. Perlahan-lahan saya perbaiki dan pelajari serta mendapat tunjuk ajar daripada pengarah juga rakan-rakan pelakon yang lain. Manakala bidang pengacaraan pula, kali pertama saya mendapat tawaran adalah untuk mengacarakan majlis perkahwinan. Hanya RM350 sahaja saya tetapkan dan dek kerana takut saya mengajak rakan untuk menemani. Ketika itu rancangan Lawak Solo baru melabuhkan tirai. Dan apa yang melucukan, tanggapan orang sementelahan saya pernah muncul di televisyen mereka fikir saya memandu kereta besar lagi mewah. Sedangkan saya hanya memandu Kancil sahaja, dan ia diparkir nun sejauh-jauhnya, hahaha. Tawaran kedua pula saya terima untuk acara Boat Noodle, dan hasilnya… Hambar! Saya disuruh naik ke pentas ketika tetamu sibuk makan dan yang kedengaran hanya bunyi camca dan garfu. Namun saya menyifatkan setiap pengalaman yang dilalui amat berguna sebagai usaha memperbaiki diri.
Kredit Foto: IG Fikry Ibrahim
Apa kelainan yang cuba Fikry tampilkan dan membezakan Fikry dengan pelakon komedi yang lain?
Saya hanya menjadi diri sendiri. Kadang kala sukar juga untuk terus memenuhi tuntutan sesuatu watak, seolah-olah saya tidak boleh lari daripada karakter lain. Namun selepas sesi penggambaran saya luangkan masa sendirian dan lakukan apa sahaja aktiviti.
Pernah terperangkap misalnya membuat keputusan yang bodoh dan akhirnya menyesal?
Selalu! (ketawa) Antaranya mengayuh basikal dari rumah di Damansara ke KLCC. Akibat terlalu penat mengayuh, saya tiada kekuatan dan tenaga untuk mengayuh basikal pulang ke rumah. Akhirnya, saya balik dengan uber. Kadang kala saya terperangkap apabila mengambil keputusan terburu-buru dan sudahnya saya menyesal, hahaha.
Kredit Foto: IG Fikry Ibrahim
Sejauh mana Fikry percaya, untuk menemui jalan yang senang perlu menelusuri pelbagai liku dan ranjau?
Ada masa jika kita punya kelebihan dalam sesuatu perkara sekalipun pasti kita tidak dapat lari dariapda melakukan kesilapan. Misalnya dahulu, jika di sekolah cikgu mengajar subjek matematik; biarpun sudah diajar dan selagi kita tidak melakukan kesalahan kita takkan tahu kita buat silap. Tetapi apa yang lebih penting adalah jangan sekali-kali mengulangi kesilapan yang sama dan belajar daripadanya untuk terus memperbaiki diri. Lain orang, lain caranya. Tetapi saya melihat soal ini sebagai sesuatu yang lumrah dan akan dilalui oleh semua orang.
Selesa atau rimas jika ada yang mengatakan Fikry punya rupa paras segak dan tampan?
Ya, saya bersyukur tetapi kurang gemar dan kadang kala rimas juga. Pada saya ini semua luaran sahaja, kulit yang membaluti tubuh badan kita. Bagaimana pula jika sudah tua nanti, kulit mulai kendur dan sebagainya, tampan lagikah? (ketawa) Saya lebih suka andainya orang memuji bakat berbanding rupa paras. Kerana bakat menandingi segalanya. Namun ada juga yang punya bakat tetapi kurang menyerlah. Dan ada juga sebaliknya. Itu semua rezeki masing-masing. Terpulang kepada cara kita menilainya.
Kredit Foto: IG Fikry Ibrahim
Pernah terbit perasaan menyesal memilih jalan ini sebagai cabang karier?
Tidak pernah malah saya pernah terfikir ‘Kenapa mesti aku? Kenapa aku ada di sini?”Dan ia mengingatkan saya kepada perbualan dengan salah seorang pengarah, Isma. Katanya jangan dipertikaikan mengapa saya berada dalam bidang ini. Maka saya menerimanya dengan hati yang terbuka. Seperkara lagi, saya berasa malu melabelkan diri sebagai artis. Hinggakan jika ada yang bertanya, “Eh nak pergi mana?” Saya selesa menjawab pergi bekerja. Jika saya menjawab mahu pergi shooting pada saya dalam diam seakan-akan memupuk sifat sombong. Entahlah, saya tidak pasti. Itu tanggapan saya. Apa yang penting niat saya untuk gembirakan orang. Walaupun dalam hati saya sendiri diselubungi perasaan bimbang dek memikirkan perkara lain umpamanya, namun perjalanan harus diteruskan.
Siapa idola atau sumber inspirasi Fikry dalam industri?
Pertama mak kerana pada saya dia punya bermacam-macam karakter. Sebut sahaja apa jua karakter, dialah abang, dialah bapa. Dan saya lebih suka menjadikan antaranya Shaheizy Sam dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai individu yang banyak memberi tunjuk ajar. Shaheizy Sam misalnya, dia cukup komited untuk menjiwai dan menjayakan sesuatu watak sehinggakan sanggup ‘bina badan’. Daripada penampilannya dalam filem Pinjamkan Hatiku, dia sanggup memakan jeruk Pak Ali hanya semata-mata untuk pastikan suaranya serak untuk menjayakan adengan meninggal dunia.
Kredit Foto: IG Fikry Ibrahim
Pada pandangan Fikry, apakah perkara yang mencabar sifat kelelakian anda, boleh kongsikan?
Mak, keluarga, soal agama dan adab. Pada saya tidak wajar jika orang berkata-kata atau buat lawak mengenai mak dan keluarga saya. Misalnya saya tidak menyentuh tentang isu mak awak dan awak juga tidak wajar memperdebatkan perihal mak saya. Selain itu saya tiada toleransi dalam soal transgender yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita kerana ia berkaitan dengan soal agama dan adab. Dan mengenai adab pula, saya suka melihat gelagat orang yang tidak kenal siapa saya dan bagaimana tigkah lakunya melayani saya. Bukan mahu mendabik dada tetapi lazimnya berbeza layanan seseorang terhadap mereka yang dikenali berbanding orang biasa.
Kematangan seorang lelaki itu terletak kepada apa?
Mengatasi sesuatu masalah. Tetapi kadang kala kaum wanita sebenarnya tidak faham bahawa kaum lelaki takkan matang sampai tua. Lelaki bodoh sebenarnya dan saya tahu kerana saya lelaki. Kami hanya berasa kami bijak. Lagak kami apabila di khalayak atau berhadapan dengan sesiapa acah-acah cool. Balik rumah kami juga bercakap-cakap mengenai perempuan, itu dan ini. Misalnya sekarang, saya acah-acah sembang seperti lelaki bijak. Tetapi balik nanti, “Eh, perempuan yang pegang camera tu lawalah.” Sama sahaja topiknya dengan kaum wanita (sambil tersenyum dan ketawa). Kami akan selalu kutuk awek sendiri dan jaranglah puji awek sendiri (ketawa)
Kredit Foto: IG Fikry Ibrahim
Punya sasaran untuk bertahan dalam industri seni?
Selagi mampu saya akan teruskan. Tetapi saya berminat dalam bidang perniagaan dan tidak kiralah menjual apa sekalipun saya tetap minat berniaga. Pada saya, masih ramai lagi yang tidak memahami apa itu perniagaan dan keusahawanan. Seorang usahawan itu pada saya adalah individu yang mewujudkan, membawa dan memberi nilai baru kepada pasaran manakala peniaga pula mewujudkan nilai yang sama cuma yang berbeza sedikit adalah produk, itu sahaja. Saya sentiasa melihat adanya potensi dalam bidang perniagaan walaupun 10 kali berniga 12 kali lingkup, hahaha… Dahulu saya pernah berniaga dobi. Saya antara dua individu yang diberi kepercayaan keluar masuk UUM untuk mengambil barang bagi tujuan mencuci. Saya ‘menggoreng’ bagai nak rak juga untuk pastikan saya peroleh tawaran itu. Dengan bangganya saya berkata kepada pihak pengurusan, “Saya mempunyai empat buah mesin membasuh dan empat mesin pengering bersaiz besar.” Dan apabila mereka bertanya di mana lokasi kedai, sehabis baik saya kelentong agar mereka tidak datang ke kedai walhal saya hanya mempunyai sebuah mesin basuh dan sebuah lagi saya cuma menyewanya. Ditakdirkan satu hari, mereka menghantar 400 set dan mahukan ia siap keesokan harinya. Saya sudah mula panik dan sempat berfikir pantas untuk meminta kos ekstra memandangkan ia mahu disiapkan dalam tempoh yang singkat. Sudahnya, saya mencuci sendiri di dobi layan diri. Pengalaman perniagaan lain, saya pernah berniaga air soya dan paling melucukan saya pernah berniaga mercun (ketawa) dan hampir ditangkap. Saya ke Siam membeli mercun untuk dijual. Dan polis bertanya, “Dari mana ni?” entah mengapa saya dengan selamba menjawab “Konvoi” sedangkan saya seorang diri. Mungkin itulah refleksinya apabila berada dalam keadaan tertekan, otak tidak mampu berfikir logik. Moralnya, janganlah menipu walau apa jua yang anda lakukan.
Media sosial, sejauh mana Fikry attahed dengannya?
Saya gemar melayari facebook dan YouTube. Tetapi saya jarang upload status atau post. Kerana apabila sudah menceburi bidang ini saya diingatkan oleh pengurus untuk lebih berinteraksi dengan peminat dan pengikut. Sejujurnya saya kurang gemar berkongsi apa yang saya lakukan. Misalnya jika saya muat naik gambar makanan, tetapi di luar saya ada yang melihat dan mungkin tidak makan. Jadi, kurang sensitif pula. Namun itu hanya daripada sudut pemikiran saya. Malah saya tidak terlalu attached dengan media sosial dan hanya muat naik atau kemas kini status dan post sesekali sahaja. Pada saya, media sosial ini sarat dengan kepura-puraan jika ia disalah guna. Ia perlu ada untuk kita mengetahui perkembangan tetapi untuk menunjukkan apa yang anda miliki pada saya tidak wajar. Semakin seseorang itu menunjukkan dia bahagia sebenarnya semakin dia tidak bahagia kerana seolah-olah dia punya banyak masa untuk melakukan semua itu. Sekali-sekala itu memadai dan tidak perlulah ia diulang tayang. Simpankan sedikit eksklusiviti anda agar tidak disalah guna.
Kredit Foto: IG Fikry Ibrahim
Sedikit mengenai soal cinta, adakah Fikry seorang yang mudah jatuh cinta atau bagaimana?
Saya mudah suka tetapi tidak mudah jatuh cinta. Tetapi… saya cepat merasa jemu, itu bahaya dan saya tidak menafikannya. Tetapi jika dia seorang wanita yang bijak, itu akan berkekalan.
Ciri-ciri wanita yang anda dambakan?
Dia perlu bijak dan pandai menyesuaikan diri.
Harapan dan kata akhir daripada Fikry untuk peminat yang selama ini menyokong karier seni anda?
Bahagian ini akan menjadi klise sebenarnya tetapi itulah… (ketawa) harapan saya kepada anda semoga terus menyokong karier dan perjalanan saya dalam bidang ini. Terima kasih atas kepercayan yang diberi dan saya akan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua cabang seni yang saya lakukan. Pada saya jika kita tidak punya harapan dalam hidup, pasti kita tidak akan melangkah ke peringkat seterusnya. Teruskan mencari sesuatu yang akan membuatkan kita menjadi insan yang lebih baik.