Bagi penggemar kisah cinta dan keluarga, drama Korea sering dijadikan pilihan untuk ditonton. Ramai penonton beranggapan drama bersiri mahupun filem Korea 'best' ditonton kerana ceritanya yang menghiburkan meskipun sebenarnya, cerita asalnya juga dikitar semula hanya diberi perubahan pada watak dan pelakonnya.

Mengambil contoh drama bersiri popular, On The Way To The Airport yang baru saja selesai episod akhirnya pada minggu lalu di saluran KBS World, plot mengisahkan percintaan isteri dan suami yang curang dengan pasangan masing-masing berjaya menarik perhatian penonton. Lebih mengujakan, watak-watak dalam drama bersiri ini adalah kisah kehidupan pramugari dan juruterbang Airasia yang berdepan rutin kerja mereka.

Jika dibuat perbandingan antara drama bersiri Korea ini dengan populariti, Suri Hati Mr Pilot yang mencetuskan fenomena kerana dua pelakon utamanya, Neelofa dan Fattah Amin, ia mungkin dianggap tidak adil. Faktor 'best' bukan hanya terletak pada pelakon popular 'dijual' tetapi secara keseluruhan karya itu menghiburkan penonton atau sebaliknya.

Berkongsi pandangan mengenai kelebihan karya Korea yang sering menambat hati penonton, penulis skrip berpengalaman, Ajami Hashim berkongsi pandangan mengenai formula drama Korea yang sering diguna pakai produser di sana yang mungkin boleh menjadi rujukan produser tempatan kita sendiri.

1. Hiburan adalah bisnes

Industri hiburan Korea dianggap bisnes untuk menjana ekonomi negara itu menerusi penerbitan muzik seperti K-pop, drama televisyen dan filem. Penerbitan drama bersiri seiring dengan filem yang dijual pada orang ramai. Bagaimanapun, produk yang paling utama dijual adalah muzik K-pop dan drama bersiri.

2. Pemilihan pelakon

Kebanyakan pelakon yang dikategori popular adalah berasal daripada pengalaman mereka berlakon di televisyen. Korea mencipta pelakon daripada televisyen sebelum ke filem. Berbanding dengan filem Hollywood, formula menggunakan pelakon drama kepada filem kurang menjadi sebaliknya, Korea menjual faktor-faktor 'cantik' termasuk kualiti sesebuah produk sebagai sandaran.

Produser di sana bersikap selektif dalam memilih pelakon untuk dijual dalam drama bersiri atau filem baru yang diterbitkan. Faktor populariti seorang artis masih menjadi keutamaan dan pada masa sama, produser juga tidak lupa tarikan pelakon senior dan veteran yang sudah diketahui mempunyai mutu lakonan bagus.

Artis baru tidak semestinya boleh berlakon meskipun mempunyai faktor cantik dan kacak yang mendorong khalayak menonton. Namun, penampilan pelakon baru tidak mustahil menjadi sandaran drama bersiri dan filem Korea kerana gandingan pelakon baru dan berpengalaman menjadi plot itu seolah sempurna.

Drama bersiri, On The Way To The Airport berjaya menarik perhatian ramai penonton. (Gambar: On The Way To The Airport - Facebook)
3. Kualiti bersifat 'cantik'

Dalam menarik perhatian penonton, Korea menekankan aspek kualiti sesebuah produk itu bersifat cantik. Sepertimana, penerbitan muzik video, mereka harus fokus pada muzik dan penyampaian secara visual yang cantik. Bagi Korea, perkara pertama yang diambil kira adalah pandangan mata dan diikuti pendengaran. Apabila mereka menayangkan artis yang cantik dan muzik yang sedap didengar, ia menjadi formula terbaik untuk dijual ke seluruh dunia.

4. Pelaburan skor muzik

Aspek skor muzik memainkan peranan penting dalam mencetuskan mood penonton. Ada dalam kalangan produser atau pengarah gagal kerana mereka tidak mahu membuat pelaburan untuk skor muzik. Drama atau filem yang menghiburkan memerlukan komposer mencipta lagu baru dan bukannya daripada muzik sedia ada di dalam 'music library'.

Namun, tidak semua drama atau filem memerlukan bajet besar. Faktor pelaburan ini bergantung pada cerita yang ingin disampaikan. Bagi filem berskala kecil seperti sebuah kisah cinta, ia masih memerlukan pelaburan untuk mendapatkan 'soundtrack, lagu tema dan skor muzik yang dihasilkan sendiri tetapi tidak terlalu mahal.

5. Jual pakej

Di Korea, menggunakan artis K-Pop sebagai pelakon menjadi pakej untuk drama bersiri atau filem berkenaan apabila lagu penyanyi itu dijadikan lagu tema manakala khidmat komposer lagu sama digunakan untuk menghasilkan 'soundtrack'. Mereka saling bekerjasama kerana ia adalah pakej. Formula menjual muka cantik, kena ada muzik cantik.

Pada pandangan produser tempatan pula, cukup sekadar mempunyai satu lagu tema dengan skor muzik sedih dan gembira. Kita tidak tahu bagaimana sedih muzik itu yang diselitkan dengan sesuatu adegan itu.

Penggiat seni Korea percaya untuk menghasilkan sesebuah karya yang bagus, mereka juga perlu bekerjasama dengan industri muzik kerana mereka menjual pakej. Ini bermakna, sebuah produk Korea bukan saja cerita, pelakon, muzik tetapi mewujudkan peluang kerja baru pada komposer untuk projek seterusnya.

Drama bersiri, Boys Over Flowers juga menjadi 'kegilaan' ramai penonton.
6. Dialog menyentuh perasaan

Biarpun penonton bukan Korea sekadar membaca sarikata drama bersiri atau filem negara itu, ia tetap memberikan 'mood' mendalam pada penonton menyelami karakter dalam cerita itu. Ini didorong faktor produksi Korea yang teliti dari aspek skrip.

Mereka mempunyai banyak masa untuk pembangunan sesebuah skrip sebelum penggambaran bermula. Maknanya, sebelum penggambaran episod pertama bermula, mereka sudah menyiapkan keseluruhan episod cerita itu dari mula sehingga akhir.

Apabila skrip tidak disiapkan sepenuhnya sebaik penggambaran bermula seperti mana yang berlaku pada produksi tempatan, ia memberi tekanan pada penulis skrip sehingga menjejaskan kualiti cerita itu sendiri. Budaya sama diguna pakai penulis skrip di Hollywood adalah berbeza kerana mereka mempunyai ramai penulis skrip untuk setiap siri yang diterbitkan dan rombakan pada skrip boleh dibuat cepat berdasarkan respons penonton pada episod sebelumnya.

Produksi Korea juga mempunyai perancangan teliti untuk episod dan sambungan musim baru. Aspek pembangunan skrip sangat penting dalam menentukan jalan cerita. Faktor penulis skrip yang bekerja dengan beberapa projek serentak juga boleh memberi kesan pada kualiti skrip yang dihasilkan.

7. Hubungan penulis skrip dan pengarah

Drama Korea menekankan aspek hubungan dan kerjasama yang baik antara penulis skrip dan pengarah yang sama untuk episod seterusnya. Apabila musim pertama drama bersiri itu mendapat sambutan, pengarah akan menjaga hati penulis skrip terbabit. Produksi Korea menjaga penulis skrip mereka agar tidak beralih arah ke produksi lain apabila mereka mula bekerjasama.

Drama bersiri dan filem Korea juga tidak dapat lari daripada kisah penceritaan sama. Penulis skrip mereka sudah tahu struktur plot yang ingin disampaikan masih sama tetapi hanya menukar watak dan pelakon.

8. Syot membuai perasaan

Penonton mudah dibuai dengan syot yang cantik dalam drama bersiri atau filem Korea walaupun ia hanya adegan di meja makan sebuah kedai kopi. Namun, Korea sebenarnya juga menggunakan kitar semula struktur atau syot sama dalam karya lain sebelum ini.

Mereka mempunyai formula sama difikirkan sudah berjaya berdasarkan cerita lain yang pernah digunakan. Senario drama Indonesia juga seperti adegan terkejut, kamera memfokuskan pada muka watak adalah diambil daripada syot Korea. Mungkin karya Korea juga mempunyai rujukan di tempat lain tetapi ia sinonim dengan produksi mereka.

Sebagai contoh jika ia membabitkan adegan dalam kafe, produksi Korea sudah mempunyai rujukan 1,001 cerita yang mereka tahu syot bagaimana adalah terbaik untuk adegan itu sama ada membabitkan adegan pelakon makan, gaduh, gembira atau sedih.

Genre psikologi seram dalam filem The Wailing memberikan tarikan pada penonton.
9. Lokasi penggambaran

Korea dan Jepun antara negara yang bijak dari aspek pemilihan lokasi yang menarik. Tidak kira di tepi sungai, mereka berusaha mempromosikan lokasi itu dalam drama bersiri atau filem. Kebanyakan lokasi penggambaran adalah tempat yang sudah popular dan ada antaranya menjadi tarikan pelancong. Penggunaan lokasi yang sama juga menjadi rujukan pada produksi lain yang mahu mencari lokasi penggambaran.

Cerita Korea juga menjadi faktor untuk tarikan pelancongan kepada orang luar melancong ke tempat mereka. Produser Korea memikirkan karya yang dihasilkan bukan sekadar drama atau filem tetapi memberi manfaat pada industri lain seperti pelancongan.

10. Produk 'sampah'

Korea juga tidak dinafikan mempunyai produk 'sampah' atau bersifat kurang berkualiti tetapi mereka mempunyai kawalan kualiti setiap produk yang dibawa keluar bukan bersifat sampah. Kerajaan Korea membantu produser mereka untuk memastikan karya yang dihasilkan berkualiti. Berbeza dengan penerbitan karya 'bebas' di sana yang menggunakan bajet rendah juga mempunyai kualiti berbeza.

Bagaimanapun, Korea menjaga standard mereka dalam aspek muzik, drama bersiri dan filem yang dijual. Korea masih menekankan faktor cerita seperti cinta dan keluarga dalam drama atau filem mereka dan bukan menjual K-pop sebagai cerita. Kejayaan Korea ini menjadi sumber rujukan pada produksi lain di seluruh
dunia.