Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor begitu merahsiakan kehamilannya. Berbanding selebriti lain yang kelihatan cukup teruja bercerita pengalaman tatkala berbadan dua, si pelantun lagu Gemilang ini pula lebih selesa mengunci mulut.

Ketika mengandung kali pertama dua tahun lalu, Jaclyn atau nama panggilannya Jac juga memegang prinsip yang sama. Cuma bezanya, dia tetap mengumumkan berita gembira itu tetapi tidak terlalu galak bercerita mengenainya sehinggalah usai melahirkan bayi yang diberi nama Jonah itu.

Advertisement
Mengulas lanjut perkara itu, kata Jac bukan niatnya mahu merahsiakan perkara baik, tetapi katanya dia tidak mahu hanya kerana sedang hamil, rezekinya akan tersekat.
“Saya rahsiakan diri mengandung bukanlah kerana enggan mendedahkan anak kepada khalayak. Sebenarnya tiada masalah dari segi itu. Cuma, saya tak mahu orang risau pasal keadaan saya dan disebabkan kerisauan itu, rezeki saya dalam bidang nyanyian terbatas.

“Saya faham niat mereka baik, tetapi saya tidak mahu ia mengundang rasa sangsi pelbagai pihak. Pernah berlaku sebelum ini, iaitu ketika saya mengandung kali pertama, sebaik saja penganjur tahu saya berbadan dua, terus persembahan saya dibatalkan. Alasannya, mereka tidak mahu bertanggungjawab jika berlaku perkara tak diingini, walhal saya dalam keadaan sihat ketika itu,”katanya ketika ditemui Rojak Daily Kaw! baru-baru ini.

Enggan kejadian yang sama berulang semula, juara Malaysia Idol musim pertama ini lebih selesa tidak menghebahkan kandungannya yang kedua itu kepada mana-mana pihak.
“Kebetulan, tarikh saya sepatutnya melahirkan bayi ini adalah sehari sebelum pembukaan Temasya Sukan SEA 2017 dan saya diundang untuk menjayakan persembahan malam itu. Selepas berbincang dengan doktor, akhirnya saya memutuskan untuk bersalin pada 24 Ogos, sama tarikh kelahiran anak pertama.

“Saya bersalin pada 24 Ogos dan keluar dari hospital dua hari kemudiannya. Pada 28 Ogos, saya berada di atas pentas menjalani latihan persembahan. Saya baik-baik saja.
Namun, kata Jac, ada terselit perasaan terkilan dalam dirinya apabila bertindak merahsiakan kandungannya.
“Biasalah perempuan mengandung, ada ketika terdetik perasaan nak pakai baju sendat dan tunjuk perut. Bukanlah nak tayang, tetapi sekadar ingin tunjuk rasa bangga, namun apakan daya?
“Saya ada juga simpan gambar tunjukkan perut, tetapi bukanlah untuk ditayangkan di laman sosial,”ujarnya.