KAW
Afifah Nasir Dianiaya Pihak Produksi Drama ‘Izinkan Aku Mencintaimu’?
Seminggu selepas Aliff Aziz dan isteri Bella Astillah mengadakan sidang media mengenai kontroversi rumah tangga mereka yang turut mengaitkan Afifah Nasir, pelakon wanita berkenaan yang juga adik kepada Anzalna Nasir bangkit bersuara mempertahankan dirinya.
Sengaja berdiam diri dan tidak mahu terus mengeruhkan keadaan dengan apa yang berlaku, Afifah akhirnya mengaku menjadi mangsa keadaan pihak produksi drama Izinkan Aku Mencintaimu yang menggandingkannya buat pertama kali dengan Aliff.
Dek kerana mengikut idea dan plan yang dicetuskan pihak produksi drama berkenaan, niat baik Afifah akhirnya menjerat diri hingga dikecam netizen serta dituduh perosak rumah tangga orang.

"Saya terkilan dan terasa dianiaya kerana mengikut arahan produksi yang mahukan saya melayan kerenah Aliff dan menjaga perasaannya hanya kerana mahu penggambaran berjalan dengan lancar.
"Semuanya kerana Aliff Aziz tak datang ke lokasi penggambaran selama lapan hari termasuk lambat selepas raya lalu. Jadi pihak produksi cadangkan saya berbuat baik dan memujuk Aliff supaya dapat memberi kerjasama melunaskan baki penggambaran.
"Penggambaran sepatutnya diadakan selama sebulan. Tetapi dengan hal yang terjadi, ia berlarutan jadi dua bulan lebih. Tetapi dengan apa yang terjadi hingga teruk kena bash, pihak produksi berdiam diri dan seperti membiarkan saya. Sedangkan masa plan idea itu sama sama," katanya saat ditemui di pejabat guam di Publika Solaris Dutamas.

Kata Afifah lagi, pihak produksi juga mencadangkan mereka tinggal di home stay berdekatan dengan lokasi penggambaran untuk memudahkan kerja apatah lagi Aliff beberapa kali datang lambat ke lokasi penggambaran.
"Tapi saya tak mahu kerana nak balik ke rumah juga. Kenapa Aliff yang datang lambat dan buat masalah, hingga kami pelakon terpaksa menunggu dan kena bersetuju untuk tinggal di home stay?
"Sebelum ini pun saya dan Aliff pernah bertekak kerana dia datang lambat dan menimbulkan masalah di lokasi penggambaran.
"Jujur hingga saat ini saya tak menyangka ia boleh jadi sebesar ini kerana hubungan kami sesama kru dan pelakon bagaikan keluarga," katanya.

Sebelum pihak media meneruskan temubual bersama Afifah, turut diperdengarkan rakaman perbualan Anzalna dan salah seorang kru produksi yang antara lain mengaku wujud perancangan yang diperkatakan.
Kata Afifah lagi, tiada istilah menggatal atau mahu merosakkan rumah tangga Aliff kerana apa yang dilakukan demi pihak produksi.
"Saya mohon maaf di atas apa yang berlaku. Sejujurnya saya tidak pernah menyimpan sebarang perasan terhadapnya. Saya tiada hubungan istimewa dengan Aliff.
"Saya faham perasan Bella sebagai isteri dan ibu yang baru melahirkan anak. Saya tidak pernah menyalahkannya dengan apa yang terjadi.
"Silap saya hanya kerana membiarkan tangan saya dipegang Aliff di premis karaoke itu mencetuskan kontroversi dan tular rakaman CCTV," katanya.
Mengenai tindakannya membuat sidang media selepas seminggu pasangan itu melakukan perkara yang sama, Afifah berkata beliau sengaja berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.
Ditanya mengenai insiden pergelutan membabitkan Aliff Aziz di pusat karaoke itu, Afifah mengakui buntu ketika kejadian berkenaan terjadi.

"Saya memang nak keluar dari bilik karaoke itu tetapi ditahan Aliff. Saya jadi buntu. Tak wujud pun situasi saya pegang handphone Bella seperti yang diperkatakan sebelum ini kerana mahu memadamkan bukti gambar saya bersama Aliff.
"Fikir logik saya sendiri tak tahu password handphone Bella. Cuma saya tak nafikan berkemungkinan dengan apa yang terjadi di pusat karaoke, tak mustahil ada daripada pihak produksi yang memaklumkan hal kami mahu berkaraoke
"Ikutkan bukan saya dan Aliff saja berada di pusat karaoke itu. Rakan pelakon Allana Amir pun sudah sampai ke parking tetapi selepas Bella datang dulu, saya suruh dia balik saja," katanya.
Afifah juga beruntung kerana kekasihnya, Wan Ariff memahami dan sudah dimaklumkan apa yang terjadi. Afifah dan boyfriend sudah dua tahun bercinta.
Minggu lalu, Aliff ketika sidang media turut berharap Afifah juga meleraikan kekusutan apa sebenarnya yang terjadi.
Must-Watch Video