Pelakon, Benjy, yang didakwa menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, Indonesia pada 18 April lalu kini berdepan hukuman penjara 14 tahun.

Benjy atau nama sebenarnya Khaireyll Benjamin Ibrahim, 38, menjalani menjalani sidang tuntutan di Pengadilan Negeri Medan, semalam.

Memetik laporan The Jakarta Post, pihak pendakwa memohon hukuman berkenaan dijatuhkan kepada Benjy di atas pelanggaran Undang-Undang Narkotik 209 negara itu.

Selain itu, pihak pendakwaan juga memohon supaya pelakon terbabit membayar denda sebanyak Rp800 juta atau bersamaan RM250,94 di atas kesalahan berkenaan.

Terdahulu, Benjy ditahan di lapangan terbang itu pada 18 April lalu bersama dadah yang dilaporkan disembunyikan pada bahagian duburnya.

Pihak berkuasa menahannya selepas melihat gerak geri dirinya yang kelihatan mencurigakan, malah motif kedatangannya ke Indonesia juga diragui.

Difahamkan, selepas pemeriksaan polis menemui dua bungkus syabu seberat 4.5 gram yang disembunyikan di bahagian dubur.

Daripada siasatan dia mengakui membeli dan membawa bahan larangan berkenaan dari Kuala Lumpur.

Benjy yang juga anak Allahyarham seniwati Azean Irdawaty pernah ditangkap beberapa kali berikutan kes dadah.

Paling terbaru, dia dibebaskan dari tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 28.99 gram pada April tahun lalu.

Menyingkap latar belakangnya, dia mula dikenali sebagai pelakon sejak zaman kanak-kanak lagi iaitu melalui filem Perempuan sekitar 1988.

Malah, lakonan cemerlang melayakkanya memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin TV3 tahun 1996 dan 2000.