Ikatan pertunangan pelawak, Tauke, bersama wanita yang dikenali sebagai Nadia sejak Disember 2015 masih utuh walaupun hasrat mendirikan rumah tangga tertangguh.

Beliau menegaskan jika tiada aral ingin memperisterikan gadis pilihannya itu tahun ini sekali gus menamatkan zaman dudanya.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria menegaskan gosip yang menerjah mengenai hubungan mereka juga tidak menjejaskan ikatan terbabit.

“Berita mengatakan kami sudah putus adalah tidak benar. Sudah semestinya saya ingin urusan untuk mendirikan masjid dipermudah dan dipercepatlan tetapi kita cuma merancang.

Harap semua orang doakan yang terbaik.

“Kalau ikutkan saya memang mahu berkahwin tahun ini juga tetapi bukan mudah mengendalikan semua perkara kerana ia membabitkan pelbagai urusan.

“Saya harap orang ramai sama-sama turut mendoakan segala-galanya berjalan lancar,” katanya yang menduda sejak tujuh tahun lalu.

Terdahulu, majlis pertunangan pemilik nama sebenar Zamatul Amri Zakaria, 43, yang diadakan secara secara tertutup di rumah keluarga perempuan di Terengganu meraih perhatian ramai.

Mengenali gadis berkenaan selama empat tahun sebelum mengambil keputusan bertunang, akuinya perbezaan usia hampir 13 tahun bukan menjadi halangan cinta mereka.