Demi kasih menggunung terhadap haiwan kesayangan, Fazura sanggup menawarkan ganjaran berjumlah RM1,000 kepada sesiapa yang terjumpa kucing kesayangan ibunya.

Pelakon jelita itu berkata, hingga sekarang si comel bernama Jem belum ditemui selepas kali terakhir dilihat di kediaman ibunya di Sunway Damansara.

“Masih hilang. Tolong cari kucing saya, kali terakhir kelihatan di Parkville Sunway Damansara. Ganjaran sebanyak RM1,000 menunggu anda,” katanya menerusi aplikasi Insta Story dalam instagram peribadinya.

Terdahulu, pada 30 Januari lalu isteri kepada aktor Fattah Amin ini pernah memuat naik status mengenai kehilangan haiwan kesayangan keluarganya yang dikatakan sudah seminggu hilang.

Katanya, dia terpaksa membuat pengumuman menerusi laman sosial disebabkan sukar untuk menampal poster mengenai kehilangan itu di premis tempat tinggal ibunya.

Begitupun, ketika makluman pertama yang dibuat pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu, beliau hanya menyatakan ada ganjaran kewangan tetapi tidak dinyatakan jumlahnya.

Namun, ramai yang memberikan maklum balas terhadap status kehilangan si comel terbabit dengan rata-rata memberikan cadangan dan tidak kurang juga mendoakan semoga Jem cepat ditemui.