Pada Ahad lalu, persembahan ‘live’ Amylea X Kaer Chapter Three Showcase yang berlangsung di Hard Rock Café, Kuala Lumpur telah dipenuhi lebih 400 penonton.

Showcase Amylea dan Kaer berdua bukan sahaja dihadiri oleh peminat-peminat Malaysia tetapi juga dari Brunei dan Indonesia.

Amylea dan Kaer tak sangka showcase dibanjiri lebih 400 penonton
Ternyata gandingan mereka berdua menerusi lagu “Tak Pernah Hilang”, yang menjadi runut bunyi untuk tema drama bersiri ‘Nur’ telah memberi impak yang cukup besar terhadap kerjaya Amylea dan Kaer.

Bagaimanapun disebalik kejayaan showcase tersebut, penyanyi, Amylea Azizan dan Kaer Azami mengakui berdepan pelbagai dugaan termasuk berselisih faham.

Walaupun bersahabat baik, namun tetap berselisih faham
Kata mereka, perselisihan faham berlaku adalah disebabkan masing-masing mahu memastikan showcase yang berlangsung memuaskan hati peminat.

“Banyak dugaan saat akhir, saya demam seminggu dan dalam masa yang sama saya kena pastikan saya fit untuk pergi latihan.

“Saya gagahkan juga kerana mahu memberikan yang terbaik kepada peminat-peminat saya,” kata Kaer.

Kaer tak kecil hati Amylea 'reject' lagu pilihannya
Sementara itu, Amylea pula berkata, dia dan Kaer berselisih faham kerana pemilihan lagu dan pergaduhan mereka itu tidak berpanjangan.

“Kalau bergaduh pun sebab lagu. Masing-masing ada pilihan sendiri. Tetapi Alhamdulillah, disebabkan saling memahami selain impian juga sama, kami berjaya mengatasinya.

“Saya banyak tolak lagu-lagu yang dipilih Kaer kerana saya mahu dia menyanyikan lagu yang dapat mengimbau nostalgia peminat dan semestinya untuk mereka menikmati showcase serta tidak rasa membazir beli tiket,” katanya.

Kecil-kecil cili padi, kecil tapi bakatnya berapi!
Dalam pada itu Amylea dan Kaer turut menyatakan rasa puas hati kerana showcase mereka mendapat sambutan peminat.

“Selepas kami buktikan kami mampu berdiri untuk sebuah showcase, sudah ada yang mula tanya bila nak buat showcase lagi?

“Terharunya kami kerana peminat memberikan sokongan sehingga ke tahap ini,” ujar mereka.

Dalam showcase yang berlangsung selama dua jam setengah Ahad lalu, Amylea dan Kaer telah menyanyikan 16 buah lagu secara solo dan duet.

Antara lagu-lagu yang mereka persembahkan termasuk Izinku Pergi, Ku Bersera, Menjelm, Sindarela, Tak Pernah Hilang, Best Part dan My Boo.

Amylea X Kaer: Chapter Three Showcase turut menampilkan persembahan Amir Hassan dan Indah Ruhaila sebagai artis undangan.