Nada sebak serta air jernih yang bergenang di kelopak mata tatkala memberi komentar terhadap persembahan kedua finalis DuoStar iaitu Syamel dan Ernie sudah cukup menterjemahkan isi hati Adibah Noor yang juga juri profesional program berkenaan. Bukan dibuat-buat sebaliknya perasaan sebak itu lahir kerana begitu kagum dengan apa yang dilihatnya.

Dalam komennya itu, Adibah ada mengatakan betapa gembiranya dia apabila pasangan itu mempamerkan persembahan yang cukup hebat ketika menyampaikan lagu Kau Lupa Janji yang pernah dipopularkan oleh Dato Jamal Abdillah. Malah sempat juga Adibah berpesan supaya bakat yang ada kedua mereka ini tidak dibazirkan dan harus dimanfaatkan dengan mengundang mereka untuk menjadi penghibur dalam mana-mana acara anugerah.

Adibah sebak dan kagum dengan persembahan yang ditunjukkan di pentas DuoStar (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Mengulas lanjut perkara itu, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Terlalu Istimewa ini berkata Syamel dan Ernie berjaya membuktikan bahawa industri masih belum ketandusan bakat-bakat hebat.

“Saya menangis kerana terlalu gembira melihat persembahan mereka sebentar tadi. Nyanyian mereka cukup menyentuh hati dan cukup sempurna di mata. Ternyata, kita masih mempunyai pelapis yang cukup berkualiti untuk menggantikan penyanyi hebat yang sedia ada.

“Harapan saya semoga selepas ini, mereka akan diundang untuk menjayakan mana-mana majlis anugerah. Jangan biarkan bakat mereka terbiar begitu saja,”ujar Adibah kepada Rojakaw Daily!

Ditanya apakah pandangannya terhadap program berkenaan, pelakon filem Sepet ini yakin DuoStar mampu mencetuskan fenomena baharu dalam industri penyiaran sebagaimana program yang pernah diterbitkan Astro sebelum ini.

Adibah sangat yakin dengan pertandingan DuoStar (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

“Seronok melihat kreativiti peserta dalam bersaing untuk merebut gelaran juara. Ada antara persembahan peserta yang buat saya terkesima menontonnya kerana tak sangka mereka mempunyai bakat untuk menyanyikan lagu genre lain. Emosi peserta juga tidak dibuat-dibuat dan ada juga yang saya bagi markah 100 peratus sebab terlalu bagus,”pujinya ketika ditemui selepas pertandingan peringkat akhir yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam itu tamat.

Jika musim pertama dibuat dalam bentuk rakaman, Adibah mengharapkan untuk musim kedua nanti ia akan ditayangkan secara langsung.

Adibah berharap pertandingan DuoStar dapat dibuat secara langsung. (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

“Melihat kepada sambutan yang diberikan penonton, saya harap pada masa akan datang program ini akan dibuat secara langsung. Mungkin auranya akan lebih hebat lagi. Walau apapun, DuoStar memang program menghiburkan dan rugi kalau tak menontonnya,”kata penyanyi berusia 46 tahun ini.

Sementara itu, mengulas cadangan yang cukup awesome yang dibuat bekas juara Suara 90-an Nescafe ini, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, berkata pelbagai perancangan sudah diatur untuk pemenang program berkenaan.

Emarina membayangkan pertandingan DuoStar mungkin dibuat secara langsung untuk musim akan datang. (Kredit Gambar: Emarina Mohd Kamal)

“Paling terdekat adalah untuk mengundang keduanya untuk membuat persembahan pada Anugerah MeleTOP yang bakal diadakan sekitar April depan. Selain itu, kami turut menerbitkan single duet mereka dan kemungkinan lagu mereka itu akan dijadikan lagu runut bunyi untuk drama-drama terbitan kami. Saya harap peminat menyukai lagu baharu mereka ini,” terangnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Emarina turut memberi bayangan bahawa besar kemungkinan DuoStar akan dibuat secara langsung untuk musim akan datang.

“Melihat kepada feedback yang diberikan penonton dan juga artis sendiri apabila ada yang menawarkan diri untuk menjadi peserta, berkemungkinan program ini akan dibuat secara langsung. Kita tengok nanti bagaimana,”katanya yang juga akan menilai kembali bentuk hadiah yang bakal ditawarkan untuk pemenang musim hadapan.