Kaw
Isu Kontroversi Neelofa, Pengarah Urusan NH Prima International, Noor Nabila Mohd Noor Mohon Maaf
Kontroversi majlis hari jadi dan pelancaran koleksi tudung Be Lofa milik Neelofa di pusat hiburan Zouk baru-baru ini ternyata membuka mata ramai pihak termasuk pihak netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan apa yang terjadi.
Lalu, menerusi kenyataan media yang diterima daripada Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd, Noor Nabila Mohd Noor memohon jutaan maaf di atas apa yang terjadi.
“Kami memohon jutaan maaf, terutamanya kepada penyokong kuat jenama kami dan juga semua individu yang telah terjejas oleh insiden baru-baru ini. Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara yang istimewa untuk jenama kami, telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.
“Sepanjang majlis pada malam itu, kami telah mengambil setiap langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol minuman keras, gelas serta perkakas diasingkan dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat tersebut sebelum berlangsungnya majlis. Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup dan merokok adalah dilarang sama sekali sepanjang majlis tersebut.
Kami juga mendapatkan katerer luar untuk menyajikan makanan halal. Semua perkakas termasuklah sudu, garfu dan gelas yang digunakan oleh tetamu juga disediakan oleh katerer tersebut," kata kakak kepada Neelofa itu.
Jelas isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad itu lagi, pihak mereka membuat keputusan untuk mengadakan majlis pelancaran ini di tempat berkenaan kerana kemudahan yang ditawarkan dan mereka juga menawarkan ruang untuk disewa sebagai ruang acara pada setiap hari Ahad dan Isnin oleh kerana ruang ini tidak dibuka untuk kunjungan umum.
“Sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED, serta sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan oleh kami untuk menjayakan majlis ini, dan kesemuanya didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan oleh pihak ruang acara.
“Untuk makluman, kami kini telah mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi ini. Tiada yang lebih penting dari mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua. Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini, dan kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
“Kami akan pastikan isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa hadapan dan kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan,” katanya.
Must-Watch Video