Skip to main content

Market Trends

Jatuh Cinta Setelah Menjadi Pasangan DuoStar?

ernie-dan-syamel-01.jpg

Sebelum ini kita sudah ada pasangan duet Hal Amir dan Uji Rashid yang cukup popular era 70an. Kemudian muncul pula pasangan Ajai dan juga Nurul yang banyak menghasilkan lagu cinta yang hebat antaranya Aku Cinta Aku Rindu dan Keliru. Selepas itu, industri nyanyian kita tidak lagi menghasilkan pasangan duet yang kekal.

Kalau adapun hanyalah untuk projek khas seperti yang dilakukan oleh Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz, Misha Omar dan beberapa orang penyanyi lain. Bagaimanapun, hasrat itu nampaknya bakal menjadi kenyataan apabila pasangan duet yang baru saja dinobatkan sebagai juara program realiti DuoStar iaitu Syamel dan Ernie Zakri bersedia untuk mengambil alih tempat yang kosong itu.

Melihat chemistry yang wujud antara mereka ketika menyanyi yang tak ubah seperti very loving couple tidak mustahil pasangan ini mampu untuk menggalas tanggungjawab itu. Ditambah dengan kehebatan vokal masing-masing membuatkan peminat tidak sabar untuk melihat hasrat itu menjadi realiti.

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Bercakap kepada Rojak Daily Kaw! selepas pertandingan itu berakhir, Syamel berkata pengalaman yang dikutip sepanjang pertandingan berlangsung membuatkan dia dan Ernie bersedia untuk digandingkan bersama dalam mana-mana acara.

“Kalau ada pihak yang mahu menggandingkan kami dalam mana-mana show, kami memang mengalu-alukannya.  Asalkan bayarannya bukan berbentuk pakej dan asing-asing, kami okey saja,”ujar Syamel sambil ketawa.

Tambah jejaka berusia 24 tahun ini, bekerja dengan Ernie memberi pengalaman baharu buatnya sekali gus memberi semangat untuk dia bekerja dengan lebih gigih lagi.

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

“Terus-terang, Syamel memang suka bekerja dengannya. Bergandingan dengan Ernie adalah satu penghormatan buat Syamel kerana dia seorang penyanyi yang bersungguh-sungguh dan berdisiplin. Ternyata, keputusan Syamel memilihnya untuk menjadi pasangan duet dalam program ini memang tepat.

“Saya mengharapkan pentas DuoStar ini dapat menyerlahkan lagi bakatnya kepada semua orang,”ujar bekas naib juara Akademi Fantasia 2015 ini.

Bagi Ernie pula, dia juga tidak menolak jika ada pihak yang mahu menjadikan mereka berdua sebagai pasangan duet untuk era baharu ini.

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

“Sebelum ini kita sudah ada pasangan duet Uji Rashid dan Hail Amir dan sekarang ini ada gandingan Misha Omar dan Hafiz. Tak salah jika ada pihak yang mahu menjenamakan kami sebagai pasangan duet. Sekurang-kurangnya ia memberi satu nafas baharu dalam industri nyanyian,”kata pemegang Diploma Muzik (Vokal) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ditanya mengenai perancangan keduanya selepas ini, Syamel berkata mereka akan mempromosikan single duet terbaharu berjudul Aku Cinta.

“Saya sendiri yang menghasilkan lagu dan liriknya manakala susunan muzik diterbitkan oleh Edry Abdul Halim. Lagu ini ada elemen strings seperti gesekan biola. Mood lagunya seperti lagu Dealova. Saya harap peminat kami suka dengan lagu ini,”ujar si pelantun lagu Hidup Dalam Mati ini dalam nada teruja.

Pada pertandingan peringkat akhir yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, pasangan duo ini berjaya menewaskan tiga pasangan lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Baca: Syamel dan Ernie, Juara Pertama Duostar

Ketika pasangan ini berhempas pulas di dalam program berkenaan, timbul desas-desus yang mengatakan kononnya mereka menjalinkan hubungan cinta dalam diam. Walaupun tiada sebarang pengakuan, berdasarkan bahasa tubuh dan cara mereka berbual tatkala dilihat dari jauh, ia seolah-olah mengesahkan berita itu.

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Ditambah dengan penghasilan lagu Aku Cinta, bagaikan menguatkan lagi spekulasi yang bertebaran itu.

Meleraikan tanda tanya itu, Ernie berkata tiada apa yang perlu disembunyikan kerana hubungannya dengan Syamel hanyalah kawan saja.

“Hakikatnya memang kami tak bercinta pun walaupun ada yang membuat andaian sedemikian hanya kerana selepas melihat keserasian kami ketika berada di dalam program realiti itu serta cara kami menjiwai sesebuah lagu.

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

“Antara saya dan dia hanyalah kawan biasa. Lagi mudah begitu kerana perjalanan karier kami masih lagi panjang. Jika benar orang nampak keserasian kami itu seperti kami sedang bercinta, saya bersyukur kerana secara tidak langsung apa yang kami usahakan itu menjadi,” tegas pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri.

Tidak mahu masyarakat di luar salah sangka, Syamel menjelaskan dia menganggap Ernie sama seperti kakaknya sendiri.

“Buat masa sekarang, Syamel anggap dia seperti kakak Syamel sendiri tetapi pada masa hadapan, Syamel tak  boleh nak cakap apa-apa,”katanya.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video