Pelawak dan pengacara terkenal, Jihan Muse selamat melahirkan bayi lelaki di DEMC Specialist Hospital di Shah Alam, Selangor, kira-kira jam 10.15 malam tadi.
Jihan atau nama sebenarnya Nur Jihan Musa, 35, melahirkan anak sulungnya yang seberat 3.85 kilogram itu secara pembedahan.
Advertisement
Syarikat pengurusan yang mewakilinya, Laugh Out Loud Entertainment berkata, Jihan akan berehat selama dua bulan daripada menjalankan aktiviti seni.
“Dengan izin yang maha Esa, kami dari Laugh Out Loud Entertainment mewakili Jihan Muse suaminya, Engku Hariz, ingin memaklumkan bahawa Jihan telah selamat melahirkan seorang putera sulung seberat 3.85 kilogram pada jam 10.15 malam sebentar tadi secara pembedahan.
“Jihan Muse dan bayi kini dalam keadaan baik dan sedang berehat. Memandangkan ini adalah kelahiran sulung mereka, Jihan bakal berehat daripada menjalani apa-apa aktiviti hiburan selama dua bulan.
“Kami dari pihak pengurusan ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas doa dan sokongan dari ahli keluarga, rakan terdekat, rakan media dan para peminat. Terima kasih,” katanya menerusi kenyataann media.
Menerusi video yang dimuat naik di laman rasmi program Meletop itu, suaminya yang juga pelakon meluahkan rasa syukur bergelar seorang bapa.
Ungku dalam ucapannya meluahkan ribuan terima kasih kepada semua selain berharap semua peminat mendoakan kesejahteraan isteri tercinta serta bayi mereka.
Jihan dan suaminya, Ungku Hariz Faizal, 32, mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu selepas sembilan tahun bercinta.