Penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz, Dato' Sheila Majid tidak menyangka percutiannya bersama keluarga ke bandar Taiping, Perak Disember lalu mendedahkan kepadanya mengenai keunikan dan keistimewaan alam semula jadi yang ada di negara ini yang tidak diketahuinya sebelum ini.

Selain mempelajari perkara baharu, perkara itu menurut Sheila turut membuatkan dirinya untuk lebih menghargai khazanah negara yang tiada galang gantinya itu.

“Ketika bercuti di Taiping hujung tahun lalu, kami sekeluarga berkesempatan mengunjungi pelbagai lokasi menarik termasuk Kuala Sepetang. Banyak perkara unik mengenai alam sekitar yang saya pelajari ketika percutian itu antaranya kewujudan hutan kayu bakau yang berusia 130 juta tahun dan juga ikan paus bewarna merah jambu.

(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

“Saya pasti ramai yang tidak tahu mengenai perkara itu. Sebenarnya banyak lagi kawasan semula jadi yang menarik di Malaysia yang ramai tidak tahu. Tidak payah pergi jauh-jauh sampai ke luar negara,” kata Sheila kepada Rojak Daily Kaw!

Tambah Sheila, semangatnya untuk menjaga dan menghargai semakin meluap-luap sebaik saja pulang dari percutian itu.

“Sebaik saja pulang dari percutian itu, saya katakan kepada kakitangan saya yang saya berminat untuk terbabit dalam apa saja kempen yang berkaitan dnegan penjagaan alam sekitar. Saya nak bantu generasi muda untuk lebih memahami betapa pentingnya kita menjaga alam sekitar.

“Tahukah anda semua yang saban tahun ada satu program yang mengajak kanak-kanak untuk menanam pokok dan pokok itu diletakkan di kawasan hutan hujan berkenaan di Pulau Banding. Lebih menarik pada setiap pokok ada diletakkan nama mereka. Jadi mereka boleh melihat pokok itu membesar dan mereka boleh berbangga melihat hasil usaha mereka itu,” cerita Sheila lagi.

(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

Bukan saja berpeluang untuk menambahkan ilmu, si pelantun lagu Sinaran ini turut menceritakan kejadian lucu yang berlaku membabitkan anak-anaknya sewaktu percutian itu berlangsung.

“Biasalah bila anak-anak metropolitan sesekali bercuti di luar kota, seronoknya bukan main lagi. Bila nampak ayam, beriya mereka mengejar. Ada satu ketika mereka kata mereka nampak kuda. Saya pun mencarilah mana yang dikatakan kuda itu. Rupa-rupanya haiwan yang mereka sangkakan kuda itu adalah lembu,” cerita Sheila sambil ketawa besar.

(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

Melihat kepada keterujaannya apabila diajak berbicara mengenai alam sekitar, penyanyi berusia 52 tahun ini turut ditanya adakah dia berminat jika ditawarkan menjadi duta alam sekitar satu hari nanti. Sambil menunjukkan reaksi yang positif, Sheila berkata dia sememangnya bersedia untuk menggalas tugas itu sekiranya diberi peluang.

Katanya, walaupun tanggungjawab terbabit tampak berat, demi rasa sayangnya pada satu-satunya bumi yang ada ini, ibu kepada empat orang cahata mata ini sanggup memikul amanah itu.

"Kalau ada pihak yang sudi untuk menawarkan tugas itu kepada saya, pasti saya akan menerimanya. Selain minat mendalam, saya juga memang suka bercakap mengenai perkara ini (isu alam sekitar).

"Bagaimanapun, saya kenalah bersedia untuk mendalami lagi ilmu alam sekitar supaya apa yang saya sampaikan dan kongsi dapat memberi impak," kata Sheila ketika ditemui pada majlis sidang media Sheila Majid Live @ Belum Rainforest Resort di Menara Mustapha Kamal, PJ Trade Centre, Petaling Jaya baru-baru ini.

(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

Hadir sama Pengarah Eksekutif Pemuliharaan Belum, Ahmad Khalif Mustapha Kamal, Pengarah Eksekutif Emkay Group, Datuk Fazwinna (kiri), dan Ketua Pegawai Eksekutif Pulau Banding Foundation, Datuk Rashid Abdul Malik.

Persembahan terbabit akan diadakan di resort berkenaan di Pulau Banding, Grik, Perak, pada 29 April depan.

Mengulas acara yang bakal dijayakannya pula, Sheila memberitahu, persembahan dengan konsep berhibur sambil beramal itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu memulihara hutan hujan berkenaan.

"Peminat boleh menyaksikan persembahan amal itu menerusi beberapa pakej tertentu. Selain menyaksikan saya menyampaikan dendangan popular dan lagu baharu, mereka juga berpeluang menjalankan pelbagai aktiviti makan malam bersama saya," kata isteri kepada pengarah muzik, Datuk Acis ini.

Untuk maklumat lanjut berhubung jualan tiket, peminat boleh melayari laman web www.belumrainforestresort.com.